Tak perlu RCI, SPP boleh selesai, kata Takiyuddin mengenai dakwaan ‘kartel polis’

Tak perlu RCI, SPP boleh selesai, kata Takiyuddin mengenai dakwaan ‘kartel polis’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata ia kerana perkara itu boleh diselesaikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel dalam kalangan polis.
KOTA BHARU:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel dalam kalangan polis dan gerakan dalaman pegawai muda polis yang mahu menjatuhkannya.

Beliau berkata, ini kerana perkara itu boleh diselesaikan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya rasa tidak timbul (isu penubuhan RCI), sebagaimana kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, itu masalah dalaman yang boleh dikendalikan SPP.

“SPP dipengerusikan sendiri oleh menteri dalam negeri dan KPN juga adalah ahlinya. Saya rasa tidak ada masalah yang besar untuk menyelesaikannya, SPP boleh selesaikan masalah polis dan penjawatan,” katanya pada sidang media selepas program Malaysia prihatin sesi bersama pegawai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Hamid menerusi program “Sinar Live bersama IGP” bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda polis yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Hamid mendakwa, gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam polis dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.