Putrajaya agih bantuan khas RM260 juta kepada negeri di bawah Pemerkasa, kata Tengku Zafrul

Putrajaya agih bantuan khas RM260 juta kepada negeri di bawah Pemerkasa, kata Tengku Zafrul

Bantuan itu akan diagihkan sama rata sebanyak RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, pengagihan bantuan khas di bawah Pemerkasa itu selaras dengan pengumuman pakej berkenaan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lalu.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan secara langsung bantuan khas berjumlah RM260 juta kepada semua kerajaan negeri.

Menterinya Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bantuan berkenaan akan diagihkan secara sama rata, iaitu RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan segera projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.

“Projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ini, termasuklah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam, serta penyelenggaraan premis perniagaan bagi memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Atas keprihatinan kerajaan kepada rakyat beliau berkata, kerajaan menambah peruntukan bagi projek berskala kecil pada tahun 2021 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi terus merancakkan aktiviti projek berskala kecil di peringkat negeri dan akar umbi.

Menurut Zafrul, pengagihan bantuan khas di bawah Pemerkasa itu selaras dengan pengumuman pakej berkenaan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.