Pakar berbelah bahagi kemajuan program vaksinasi Covid-19

Pakar berbelah bahagi kemajuan program vaksinasi Covid-19

Ada yang gesa kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, manakala pihak lain berpuas hati dengan kelancarannya.

Petugas barisan hadapan beratur untuk menerima vaksin di Pusat Kuarantin dan Rawatan MAEPS di Serdang.
PETALING JAYA:
Terdapat reaksi bercampur daripada pelbagai pihak terhadap kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan sebilangan berpendapat program itu sudah berada di laluan tepat, manakala yang lain meminta ia dipercepatkan.

Ia susulan rungutan beberapa pihak mengenai kemajuan program vaksinasi yang dianggap perlahan, termasuk oleh bekas perdana menteri Najib Razak, yang berkata di Facebook, Malaysia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai imuniti kelompok.

“Malaysia akan memerlukan masa 6.4 tahun sebelum kita berjaya memberi vaksin kepada 80% penduduk untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar sekarang,” kata beliau di Facebook pada Rabu.

Setakat 18 Mac, seramai 385,126 orang daripada 500,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 dalam fasa 1 program imunisasi kebangsaan.

Selain itu, ada antara mereka, seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang telah menerima dos kedua baru-baru ini.

Azrul Mohd Khalib.

Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib mempertahankan kemajuan program itu, dengan berkata, prestasinya setakat fasa 1 bagus, dengan menangani keperluan melindungi petugas barisan hadapan dalam perkhidmatan penting.

“Selangor, Sabah dan Perak adalah tiga negeri dengan bilangan teramai yang telah menerima dos pertama. Kami dimaklumkan Labuan dan Terengganu pula sudah siap memberi dos pertama vaksin kepada petugas barisan hadapan mereka dalam fasa 1,” kata beliau kepada FMT.

Azrul menyifatkan program itu sebagai program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara, yang belum pernah dibuat dan dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

“Pasti akan ada isu. Yang penting, kerajaan belajar daripada (masalah-masalah yang dihadapi) dan membetulkan laluan dengan cepat. Perbandingan dengan negara lain sebenarnya tiada nilai.

“”Hanya ada satu set data yang penting saat ini, berapa ramai penduduk telah menerima vaksin Covid-19? Lebih cepat kita capai sekurang-kurangnya 60%, lebih baik untuk kita semua, ekonomi dan negara,” kata beliau.

Dr Michael Jayakumar.

Dr Michael Jayakumar, bekas ahli Parlimen Sungai Siput, menasihati kerajaan agar tidak terburu-buru dalam proses vaksinasi.

“Kita tidak patut terburu-buru kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) telah berhasil menurunkan jumlah jangkitan dan kes harian. Kita bukan seperti negara lain seperti Brazil, di mana jangkitan mereka merebak dengan meluas,” kata beliau kepada FMT.

Kebimbangan sebenar adalah bagi meyakinkan mereka yang ragu-ragu dengan vaksin, untuk menerimanya.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, pengagihan vaksin tidak “sama rata”.

Dr Lee Boon Chye.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun program yang lancar dan terancang lebih penting daripada pendekatan yang terburu-buru, program vaksinasi mesti menyasarkan sekurang-kurangnya 80% penduduk diberi vaksin dalam tempoh setahun bagi mencapai imuniti kelompok.

“Jika kita tidak dapat mencapai sekurang-kurangnya 80% dalam tempoh 12 bulan, kita mungkin berdepan masalah jika perlindungan vaksin bertahan kurang daripada 12 bulan, atau apabila varian virus muncul.

“Melalui program vaksinasi, semakin banyak pusat akan didirikan dan kadar vaksinasi harian pasti akan meningkat. Kemajuan perlahan di peringkat awal boleh dijangka, malah saya rasa, ia disengajakan. Ia pasti akan bertambah cepat kemudian,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.