Siasat dakwaan parti politik terima komisen Goldman Sachs, gesa ADUN

Siasat dakwaan parti politik terima komisen Goldman Sachs, gesa ADUN

Menurut mesej WhatsApp yang tersebar di media sosial, ia membabitkan seorang peguam berprofil tinggi.

ADUN Kuang Sallehudin Amiruddin mahu polis siasat kesahihan mesej tular berkenaan komisen daripada penyelesaian Goldman Sachs. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pejabat seorang ADUN Selangor membuat laporan untuk menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu, wang itu didakwa adalah komisen bagi membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Dakwaan itu, menurut ADUN Kuang Sallehudin Amiruddin, menjadi tular di media sosial minggu lalu.

Sallehudin dalam kenyataan berkata, mesej yang tular itu mendakwa wang terbabit akan digunakan untuk pilihan raya umum ke-15, dan beliau mahu pihak berkuasa menyiasat kesahihan mesej itu dan sama ada wang itu sudah dibayar.

ADUN Pejuang itu juga mahu pihak berkuasa mengesahkan kandungan mesej itu.

Sekiranya benar, kata beliau, ini bermakna ada individu yang berkait dengan kerajaan memperoleh komisen daripada pengembalian wang berkaitan 1MDB.

Sallehudin berkata, mesej itu turut mengandungi dakwaan kerajaan Perikatan Nasional akan menggunakan agensi penguatkuasaan untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan Umno untuk menyokong gabungan kerajaan, dakwaan yang turut dibuat pemimpin pembangkang.

Kata beliau, satu lagi laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa terdekat.

Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Goldman Sachs akan membayar wang tunai USD2.5 bilion dan memberi jaminan pemulangan sekurang-kurangnya USD1.4 bilion yang dirampas kerajaan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Pembangkang sebelum ini mengkritik jumlah penyelesaian itu, dengan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah menuntut USD7.5 bilion daripada Goldman Sachs.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.