Ringgit dibuka susut 120 mata asas berbanding dolar AS

Ringgit dibuka susut 120 mata asas berbanding dolar AS

Ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan peningkatan kadar Hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Penganalisis pasaran berkata, kelemahan harga minyak diheret oleh kebimbangan berhubung permintaan dan penawaran jangka pendek dan panjang.
KUALA LUMPUR:
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Jumaat, menyusut daripada keuntungan yang diraih semalam di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah dan peningkatan dalam kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada pukul 9 pagi, unit tempatan merosot 120 mata asas kepada 4.1210/4.1260 berbanding dolar AS daripada 4.1090/1140 pada penutupan petang Khamis.

Laporan berita menyatakan penanda aras minyak mentah semalaman Brent jatuh 6.9% peratus kepada USD63.28 setong.

Menurut ketua strategi pasaran global Axi Stephen Innes, kelemahan harga minyak diheret oleh kebimbangan berhubung permintaan dan penawaran jangka pendek dan panjang.

Sementara itu, beliau menambah, Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS melonjak tujuh mata asas kepada 1.71% pada Khamis, sekali gus mencatatkan paras tertingginya sejak 23 Jan, 2020.

Dalam pada itu, ketika urus niaga dibuka pagi ini, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0623/0667 daripada 3.0616/0663 sebelumnya dan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.7783/7832 daripada 3.7677/7733 pada petang Khamis.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding pound Britain pada 5.7307/7380 daripada 5.7349/7452 tetapi tidak berubah berbanding euro kepada 4.9061/9137 daripada 4.9061/9138 sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.