Rakan sekerja didakwa bunuh pengurus IKRAM

Rakan sekerja didakwa bunuh pengurus IKRAM

Hasbullah Ismail, 56, didakwa membunuh Nik Khatijah Nik Mud, 32, antara 11 malam 5 Mac hingga 3 pagi 6 Mac lalu.

Tertuduh, Hasbullah Ismail yang juga pengurus di IKRAM, dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan membunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Nik Khatijah Nik Mud, dua minggu lalu.

Hasbullah Ismail, 56, yang juga pengurus di badan bukan kerajaan itu, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berita Harian melaporkan berdasarkan pertuduhan, Hasbullah didakwa membunuh Nik Khatijah, 32, di sebuah rumah di Taman Bangi Jalan Reko, antara 11 malam 5 Mac hingga 3 pagi 6 Mac lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati dan mahkamah menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Mac lalu, media melaporkan seorang petugas wanita NGO ditemui mati dengan kesan jerutan di leher, dipercayai dijerut dengan kabel penyambung elektrik di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang.

Mangsa yang dilaporkan hilang 6 Mac lalu, ditemui rakan sekerja lelakinya yang pergi ke rumah sewa mangsa pada 9 pagi sebelum menghubungi polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat turut melaporkan kereta jenis Nissan Almera warna hitam milik mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan parkir di sebuah pasar raya di Jalan Reko, Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.