Pencetak pasport rosak punca barisan panjang, kata imigresen

Pencetak pasport rosak punca barisan panjang, kata imigresen

Jabatan Imigresen berkata, kesesakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga disebabkan pemohon datang secara 'walk-in' tanpa membuat temu janji melalui sistem temu janji dalam talian terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, barisan panjang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura turut disebabkan peningkatan permohonan pasport secara mendadak.
PETALING JAYA:
Gangguan sistem dan kerosakan salah sebuah mesin pencetak pasport ialah punca barisan panjang bagi memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, kata Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, kesesakan juga disebabkan peningkatan permohonan pasport secara mendadak dan pemohon datang secara “walk-in” tanpa membuat temu janji melalui sistem temu janji dalam talian terlebih dahulu.

“Jabatan Imigresen menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya memperbaharui pasport mereka secara dalam talian. Permohonan akan diproses dan pasport akan dicetak dalam masa empat hingga lima minggu.

“Jabatan Imigresen juga sedang menunggu kelulusan Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara tersebut untuk melakukan kerja-kerja pembaikan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, The Straits Times (ST) melaporkan beratus-ratus orang beratur untuk memperbaharui pasport sejak awal pagi, sehingga ada warga emas dan pengguna kerusi roda terpaksa menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.

Ia merupakan isu berlarutan sejak pandemik Covid-19 melanda, katanya.

Khairul berkata, keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai urusan memperbarui pasport, yang perlu melanjutkan permit kerja mereka dalam masa terdekat kerana sebelum ini mereka kembali ke Johor Bahru bagi memperbaharui pasport mereka.

“Selain itu, faktor pelaksanaan kuarantin wajib di Malaysia selama 10 hari dan Singapura selama 14 hari menyukarkan rakyat Malaysia kembali memperbaharui pasport di cawangan Jabatan Imigresen lain di Malaysia.

“Pejabat Jabatan Imigresen di Singapura pula hanya mampu memproses 100 permohonan pembaharuan pasport sehari.

“Berbanding permohonan pembaharuan secara dalam talian yang meningkat daripada 200 kepada 450 sehari, kebanyakan pemohon datang tanpa membuat temu janji melalui sistem temu janji dalam talian.”

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan Jabatan Imigresen akan sentiasa peka terhadap masalah dihadapi orang ramai dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menghentikan semua permohonan langsung pembaharuan pasport pada 30 Mac tahun lalu berikutan pandemik Covid-19. Ia hanya dibenarkan semula Disember lalu, namun sementara itu, permohonan dalam talian masih diproses dengan tarikh siap pengambilan ditetapkan.

Dalam catatan di Facebook, Suruhanjaya Tinggi Malaysia berkata, ia hanya akan memproses kes mendesak melibatkan pasport atau pas jangka panjang yang akan berakhir dalam tempoh tiga bulan atau kurang, susulan langkah penjarakan fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.