Banyak yang perlu dijawab oleh kerajaan, katanya, ketika memberi komen berkenaan dakwaan mengejutkan bahawa kerajaan AS bekerjasama dengan Goldman Sachs untuk menahan bukti berkaitan skandal itu yang boleh membantu pembelaan Najib Razak.
Dakwaan itu dibuat peguam Roger Ng, bekas pegawai bank Goldman Sachs.
Mereka berkata, bukti tersebut berkemungkinan menyenaraikan nama individu yang menggelapkan berjuta-juta ringgit daripada 1MDB dan juga nama-nama penerimanya.

Santiago yang merupakan anggota DAP, berkata, banyak persoalan perlu dijawab berhubung penyelesaian yang dibuat Goldman Sach dengan Putrajaya Julai lalu, yang menyaksikan bank pelaburan tersebut membayar USD 2.5 bilion kepada kerajaan dan jaminan bahawa Malaysia akan memperoleh kembali tambahan USD1.4 bilion daripada aset 1MDB yang disita di seluruh dunia.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian itu, Malaysia menggugurkan tuduhan jenayah terhadap bank tersebut kerana mengetepikan fakta material berhubung penjualan bon bernilai USD 6.5 bilion untuk pembelian loji kuasa bebas 1MDB, projek Tun Razak Exchange, dan Bandar Malaysia.
Santiago berkata, kritikan terhadap perjanjian itu kukuh kerana Malaysia kemudiannya seolah-olah “ditipu”.
Dengan perkembangan terbaharu itu, wujud keperluan lebih besar bagi kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memberi maklum balas.
“Kerajaan terdahulu menuntut ganti rugi USD7.5 bilion daripada Goldman Sachs, yang merangkumi USD1 bilion untuk meliputi faedah bon tersebut sehingga kini.
“Jadi, mengapa kita terima bayaran yang sedikit itu? Ia perlu dijawab oleh kerajaan PN.
“Bukan sahaja kita tidak dapat semua yang sepatutnya kita dapat, kita seolah-olah membiarkan melepaskan mereka dengan mudah.
“Kita bercakap mengenai wang pembayar cukai; itu tidak betul. Maksud saya, mengapa kita perlukan mereka (Goldman Sachs) untuk membantu mengembalikan hasil daripada aset 1MDB yang disita di seluruh dunia? ”
Santiago berkata, sekiranya dakwaan peguam Ng adalah benar, kerajaan perlu menjelaskan apakah yang berlaku.
“Mula-mula kita ditipu hingga rugi berbilion ringgit, sekarang kita tahu wujud usaha untuk melindungi pihak lain yang terlibat dalam skandal itu. Jadi di manakah keadilan untuk Malaysia?”
Beliau berkata, tidak masuk akal apabila kerajaan sendiri menolak untuk mendedahkan sepenuhnya syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs.
Sebelum ini, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata perincian penyelesaian tersebut tidak dapat didedahkan kerana klausa kerahsiaan.
“1MDB adalah masalah umum, kerajaan perlu lebih telus. Mengapa mereka bersetuju dengan klausa kerahsiaan sejak awal lagi? “