Wanita kahwin kapten hoki India masih Islam, kata JAINJ

Wanita kahwin kapten hoki India masih Islam, kata JAINJ

Jabatan Agama Islam Negeri Johor sudah mengambil keterangan Illi Najwa Saddique, ibunya dan beberapa saksi lain.

Illi Najwa Saddique berkahwin dengan Manpreet Singh Pawar di Mithapur, dekat Jalandhar, Punjab pada Disember lalu.
PETALING JAYA:
Siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan wanita Malaysia, Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan kapten pasukan hoki India, Manpreeet Singh Pawar masih beragama Islam.

Mufti Johor Yahya Ahmad berkata, JAINJ sudah memanggil mengambil keterangan daripada Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain berhubung kontroversi yang tular sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar dari Islam, malah pada hari ini, beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk menghadap Baginda Tuanku Sultan,” katanya seperti dilaporkan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Yahya berkata, pendaftaran perkahwinan pasangan itu juga kini dalam proses.

“Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai,” katanya ketika diterima menghadap Sultan Ibrahim berhubung isu perkahwinan Illi Najwa dan pasangannya tahun lalu, yang menimbulkan kontroversi.

Pada Disember lalu, Sultan Johor mengarahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan kapten pasukan hoki India.

Sultan Johor berkata, sebagai ketua agama Islam di Johor, beliau bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.