
FMT mengimbau kembali peristiwa penting dalam tempoh setahun negara berada bawah PKP.
Pembelian panik, balik kampung
Sejurus selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP, rakyat tergesa-gesa keluar mencari barang keperluan penting, dengan pasar raya dan kedai runcit dipenuhi orang ramai yang membeli pada saat-saat akhir.
Roti ibarat pisang goreng panas, namun ternyata ia dibeli lebih daripada yang diperlukan. Ini kerana beberapa hari kemudian, banyak roti dilihat dibuang begitu sahaja kerana telah melepasi tarikh luput.
Sempadan negeri turut sesak dengan warga kota membuat perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing sebelum PKP dikuatkuasakan.
PKPD pertama
Dua kawasan di Simpang Renggam, Johor, menjadi lokasi pertama pelaksanaan PKP diperketat (PKPD) pada 27 Mac. Laluan keluar masuk di dua kawasan itu dipasang kawat besi dan dikawal rapi pasukan tentera.
Penguatkuasaan PKPD bermaksud sekatan sepenuhnya di mana penduduk tidak dibenarkan langsung meninggalkan rumah dan setiap sektor ekonomi diarahkan tutup supaya saringan Covid-19 boleh dijalankan ke atas setiap penduduk.
Ketika PKPD diisytiharkan di Pasar Borong Selayang, segelintir warga asing dilihat memanjat kawat besi untuk keluar masuk zon-zon terlibat.
Kehadiran penyu, alam mula ‘pulih’
Ketika rakyat mengadu terpaksa duduk di rumah, alam sekitar nampaknya lebih menghargai sekatan yang dikenakan ke atas pergerakan manusia. Memerang dilihat merayau di tebing sungai dan penyu dilaporkan bertelur di Port Dickson.
Setelah sebulan PKP dilaksanakan, NGO alam sekitar Pusat Alam Sekitar Global menerima banyak laporan daripada komuniti yang tinggal di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak tentang kualiti air yang lebih baik.
Air di Sungai Pinang di Pulau Pinang, yang hitam sebelum itu, bertukar jernih kerana kilang tidak lagi melepaskan efluen ke dalamnya.
Keuntungan melonjak bagi pengeluar sarung tangan, syarikat e-hailing
Ketika rakyat terpaksa duduk di rumah, syarikat penghantaran menerima lebih banyak permintaan, dengan lebih ramai penunggang motosikal menawarkan diri untuk berkhidmat.
Sementara itu, permintaan antarabangsa yang melonjak bagi sarung tangan getah membawa keuntungan lumayan buat syarikat seperti Top Glove, Supermax Corp and Hartalega sewaktu wabak sedang melanda.
Dr Noor Hisham antara tokoh utama dalam pengurusan wabak
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah disenaraikan oleh China Global TV Network (CGTN) sebagai salah seorang daripada tokoh peneraju utama pengurusan wabak Covid-19.
Beliau disenaraikan di samping Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat, dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.
Serbuan imigresen di KL
Pada Mei, Jabatan Imigresen mula melancarkan banyak operasi di Kuala Lumpur bagi menangkap pendatang asing tanpa izin, dengan Menara City One menjadi lokasi pertama serbuan.
Tindakan ini dikecam persatuan sivil dan pakar kesihatan, yang memberi amaran ia boleh menyebabkan mereka bersembunyi, justeru memberi kesan terhadap usaha kerajaan mengesan mereka yang mungkin dijangkiti virus.
Malaysia masuk fasa pemulihan, sektor ekonomi dibuka semula
Dengan jumlah kes Covid-19 makin menurun, lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula pada April 2020, sementara beberapa sekatan dihapuskan ketika negara beralih kepada PKP bersyarat (PKPB) pada 4 Mei.
Tidak lama kemudian, Malaysia memasuki fasa PKP pemulihan (PKPP), dengan hampir semua aktiviti sosial, termasuk aktiviti keagamaan, dan aktiviti dalam sektor pendidikan dan perniagaan dibuka secara berperingkat.
Tiada lagi kes Covid-19 tempatan
Tiada jangkitan Covid-19 tempatan dilaporkan pada 1 Julai, kali pertama sejak negara dikenakan sekatan pada Mac. Hanya satu kes import dilaporkan, melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Turki.
Rekod sifar jangkitan tempatan kekal beberapa hari, sementara jumlah jangkitan berada pada paras satu angka.
Pelajar kembali ke sekolah
Pelajar Tingkatan Lima dan Enam dibenarkan kembali ke sekolah mulai 24 Jun supaya mereka dapat membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan utama, dengan jumlah kes mengalami pengurangan ketara.
Semua sekolah dibuka di seluruh negara mulai 15 Julai, dengan pelajar kembali ke sekolah secara berperingkat.
Kluster tabligh berakhir secara rasmi
Kluster tabligh yang dikesan tercetus daripada sebuah perhimpunan di masjid Sri Petaling pada akhir Februari, berakhir secara rasmi pada 8 Julai.
Kluster Covid-19 terbesar di negara pada masa itu, yang mencatatkan lebih daripada 3,375 kes dan 34 kematian, bermula daripada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 14,500 rakyat Malaysia dan 1,500 warga asing, dengan beberapa kes pertama dilaporkan pada 11 Mac.
Wajib pakai pelitup muka di tempat awam
Pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan mulai 1 Ogos, dengan peraturan sama dikenakan buat penumpang semua jenis pengangkutan awam.
Pelitup muka tidak perlu dipakai sekiranya tiada orang lain di sekitar dan penjarakan fizikal diamalkan.
Kerajaan sebelum itu tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana bimbang ia akan membebankan golongan berpendapatan rendah.
Gelombang ketiga jangkitan
Sabah mula mencatatkan lonjakan kes Covid-19 pada September, dengan jangkitan dilaporkan di penjara dan pusat tahanan melibatkan pendatang asing tanpa izin.
Pilihan raya Sabah yang diadakan akhir bulan itu, walaupun dengan amaran daripada pakar, mengakibatkan virus merebak ke semenanjung sehingga mencetuskan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di negara ini.
Hal ini menjadi lebih buruk apabila ramai kembali dari Sabah tanpa menjalani kuarantin.
Sekatan diperketat
Susulan lonjakan kes baharu, kerajaan menguatkuasakan kembali sekatan, dengan beberapa negeri dan wilayah persekutuan diletakkan bawah PKP bersyarat (PKPB) sekali lagi, manakala mereka yang pulang ke semenanjung dari Sabah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.
Sekatan digandingkan dengan larangan merentas negeri yang menghampakan sektor-sektor ekonomi yang baru ingin pulih daripada kesan ekonomi berpunca daripada wabak.
SPM ditunda buat kali ketiga
Peperiksaan utama sekolah menengah, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ditangguhkan buat kali ketiga dan terakhir pada November. Peperiksaan SPM akhirnya bermula pada 22 Feb 2021.
Peperiksaan pertama kali ditangguhkan daripada 5 Okt kepada 16 Nov akibat PKP, kemudian kepada 6 Jan 2021 untuk memberi pelajar lebih masa bagi membuat persiapan.
PKPB kekal, tetapi perjalanan rentas negeri dibenarkan
Dalam sebuah langkah yang mengejutkan, kerajaan menghapuskan larangan perjalanan merentas daerah dan negeri pada 7 Dis, sekalipun ketika PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, dan Sabah dilanjutkan.
Menurut kerajaan, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan mengimbangkan isu kesihatan dan ekonomi.
Tahun baharu, PKP baharu
Dengan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat dan jangkitan di kilang-kilang semakin menular, kerajaan mengembalikan PKP di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, tetapi dengan sekatan yang lebih longgar berbanding kali pertama.
Digelar “PKP 2.0”, ia kemudiannya diperluas ke seluruh negara, kecuali Sarawak.
Rekod baharu jangkitan Covid-19 tempatan
Semasa PKP 2.0, rekod tertinggi 5,728 kes dicatat pada 30 Jan, sementara bilangan kematian tertinggi dicatatkan pada 18 Feb, dengan 25 kematian.
Tarikh 16 Feb mencatatkan bilangan kluster tertinggi, iaitu 19, juga jumlah kes pulih tertinggi, iaitu sebanyak 5,718.
Program vaksinasi dilancarkan
Kerajaan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Feb, dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama vaksin di negara ini.
Dalam langkah yang diharap kerajaan dapat membawa negara kembali kepada normal, program itu akan dijalankan dalam tiga fasa: pertama, buat petugas barisan hadapan; kedua, bagi warga emas dan golongan berisiko; dan akhir sekali, bagi orang awam berusia 18 tahun ke atas.
Tiada lagi PKP menyeluruh
Sehari sebelum ulang tahun pertama pelaksanaan PKP buat kali pertama, kerajaan mengumumkan tiada lagi PKP secara menyeluruh. Sebaliknya, sekatan akan tertumpu kepada lokaliti tertentu.
Muhyiddin juga mengumumkan pakej ransangan Pemerkasa bernilai RM20 bilion yang bertujuan untuk menghidupkan kembali ekonomi.