Pemerkasa: PKS hadapi masalah aliran tunai terus dibantu kemudahan mikro kredit

Pemerkasa: PKS hadapi masalah aliran tunai terus dibantu kemudahan mikro kredit

Kemudahan pembiayaan mikro kredit sangat penting bagi kelangsungan perniagaan PKS, kata Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Zulfikri Osman.

PKS berdepan risiko gulung tikar sekiranya tidak dibantu, kata Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Zulfikri Osman.
KUALA LUMPUR:
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami masalah aliran tunai ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) terkini terus dibantu kerajaan menerusi kemudahan pembiayaan mikro kredit yang disediakan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata, sekurang-kurangnya 30% industri di Malaysia masih tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP terkini sekali gus menyebabkan PKS mengalami masalah aliran tunai yang berat.

“Perdana menteri juga mengumumkan PKP secara menyeluruh mungkin tidak dilaksanakan pada masa akan datang, sebaliknya dikuatkuasakan mengikut lokaliti dan menumpukan kluster yang terlibat sahaja.

“Itu penyelesaian yang tepat. Kita perlu kekal bertahan dalam situasi wabak ini,” kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) Zulfikri Osman berkata, majoriti usahawan mikro tahun ini masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan dalam situasi PKP yang berterusan akibat Covid-19.

Beliau berkata justeru, kemudahan pembiayaan mikro kredit tersebut sangat penting untuk PKS meneruskan kelangsungan perniagaan dan pada masa sama, mereka menghadapi risiko gulung tikar jika tidak dibantu.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) Zulfikri Osman.

“Sekiranya program vaksin dapat berjalan dengan sempurna dan aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan seperti biasa, kebanyakan usahawan akan kembali stabil.

“Pada masa itu, barulah majoriti PKS dapat membuat perancangan untuk mempertingkatkan perniagaan mereka,” kata beliau.

Ketika mengumumkan Pemerkasa semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN, MARA dan SME Corp.

Jumlah tersebut merupakan penambahan kepada peruntukan RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Melalui BSN, dana sebanyak RM300 juta disediakan manakala RM50 juta disediakan oleh SME Corp kepada PKS tempatan dengan kadar faedah serendah 3%.

Sementara itu, MARA menawarkan RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro kepada 1,000 PKS mikro selain TEKUN Nasional yang menyediakan RM60 juta untuk Skim Pembiayaan Informal bagi perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah, pasar malam dan pasar tamu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.