
Tertuduh Cosmos Chong Say Hun, 79, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, Chong didakwa secara tidak munasabah membaling sebatang besi tajam sepanjang 3.5 kaki hingga mencedera dan mendatangkan penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas seekor kucing betina berwarna putih tompok hitam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di halaman rumah bernombor 16, Lengkok Tembaga, Island Park dalam daerah Timur Laut pada 6.40 petang, 15 Nov tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum bawah Seksyen 29 (1) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Simon Murali.
Mahkamah menetapkan 19 April untuk sebutan semula kes dan tertuduh yang dilepaskan tanpa dikenakan sebarang jaminan, diwajibkan hadir.