Baki tunggakan cukai tanah bagi Kuala Lumpur lebih RM19 juta

Baki tunggakan cukai tanah bagi Kuala Lumpur lebih RM19 juta

Pemilik tanah yang degil berdepan risiko tanah mereka dirampas, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya.

Pemilik tanah hendaklah bertanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya.
KUALA LUMPUR:
Baki tunggakan cukai tanah bagi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat 31 Dis 2020 berjumlah RM19,584,478 melibatkan 15,727 hak milik, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya.

Kata beliau, berdasarkan rekod pada awal 2020, terdapat 165,371 hak milik tanah berdaftar di Kuala Lumpur, dengan 16% daripadanya (26,551 hak milik) mempunyai tunggakan cukai tanah berjumlah RM28,809,508.30.

Pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) menjalankan pelbagai usaha bagi mengurangkan jumlah tunggakan cukai ini.

“Antaranya melaksanakan Ops Ketuk, penyampaian notis secara serahan tangan kepada pemilik tegar, sesi libat urus dengan pemilik, pembukaan kaunter bayaran di luar pejabat, pembersihan data dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang seperti perampasan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memudahkan pemilik tanah menjelaskan bayaran cukai seperti secara dalam talian (FPX) melalui portal pejabat tanah (www.ptgwp.gov.my), perbankan Internet (M2U, Cimbclicks dan RHB Online) dan di kaunter pos dan kaunter DBKL secara tunai.

Dalam pada itu, Yasir menjelaskan, sekiranya pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah, segala urusan yang boleh dipohon pemilik tanah akan terhalang, selaras dengan keperluan dalam Seksyen 301A Kanun Tanah Negara (KTN).

“Akta ini mengkehendaki semua sewa (cukai) hendaklah dijelaskan sebelum serahan dibuat di PPTGWPKL.

“Urusan ini seperti memecah bahagian tanah, memajukan tanah, mencantum tanah, menukar kategori dan syarat tanah serta menjalankan urus niaga memindah milik, memajak, menggadai dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau menyatakan, pemilik turut berdepan risiko yang lebih besar iaitu tanah tersebut boleh dirampas (dilucut hak) berdasarkan Seksyen 97 dan Seksyen 100 KTN.

Kesan daripada pelucutan hak itu adalah tanah tersebut kembali sebagai tanah kerajaan yang bebas daripada segala bentuk bebanan atau tuntutan, kata beliau.

“Oleh yang demikian, pemilik tanah atau pihak yang berkepentingan terhadap sesuatu tanah hendaklah sentiasa mengambil berat dan bertanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah,” kata beliau.

Untuk rekod, sejak penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1974, sebanyak empat kali pindaan cukai tanah dilaksanakan pihak berkuasa negeri iaitu pada 1975, 1984, 1994 dan 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.