Pemimpin DAP beri penjelasan, minta maaf timbulkan kekecohan di konvensyen negeri

Pemimpin DAP beri penjelasan, minta maaf timbulkan kekecohan di konvensyen negeri

Kata Ahli Parlimen Kampar Thomas Su, beliau mula meninggikan suara selepas bantahannya tidak diendahkan, menyebabkan berlakunya perang mulut dalam kalangan ahli parti.

Ahli Parlimen Kampar Thomas Su (duduk, kiri) dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dikelilingi penyokong semasa kekecohan di konvensyen DAP Perak. (Tangkap layar dari laman Facebook Sin Chew)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kampar Thomas Su tampil memohon maaf dan memberi penjelasan atas tindakannya ketika Konvensyen DAP Perak Ke-19 Ahad lalu, yang menimbulkan kekecohan dan kontroversi di media sosial.

Su berkata dalam kenyataan hari ini, beliau bertindak demikian selepas menyedari proses pendaftaran delegasi parti masih diteruskan walaupun konvensyen dan mesyuarat parti sudah bermula.

Beliau mendakwa senarai kehadiran ahli parti juga digunakan oleh kumpulan dan individu tertentu mengajak lebih ramai delegasi hadir walaupun mesyuarat sudah bermula.

“Saya rasa (tindakan) ini tidak wajar. Pada ketika itu, saya membantah tindakan itu dan meminta ia dihentikan segera, atau saya diberi kebenaran melihat senarai nama berkenaan,” kata beliau.

“Namun, bantahan saya ini tidak diendahkan, di mana saya rasa ia bertentangan dengan prinsip asas DAP yang sebelum ini berbangga dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi.”

Menurut Su, beliau kemudian hilang pertimbangan dan mula meninggikan suaranya yang menyebabkan berlakunya perang mulut dalam kalangan ahli-ahli parti.

Terdahulu, media melaporkan timbul sedikit kekecohan ketika Konvensyen DAP Perak ke-19 Ahad lalu susulan dakwaan wujud pengundi hantu yang akan memilih ahli ke jawatankuasa negeri dan isu tempoh pengundian tiba-tiba dilanjutkan.

Kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan konvensyen tersebut yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan berkenaan “pengundi hantu” itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Su mengakui beliau sepatutnya menzahirkan bantahannya berkenaan isu itu melalui saluran yang lebih sesuai.

“Saya sedar tindakan saya, sekalipun berniat baik atau selaras engan apa yang saya percaya sebagai prinsip DAP, adalah salah, dan tidak mencerminkan gaya perjuangan DAP,” kata beliau.

Su yang mengaku bertanggung jawab atas kejadian berkenaan, berkata beliau sedar tindakannya telah mencemarkan reputasi parti dan dirinya sendiri.

“Dengan ini, saya menzahirkan kekesalan (atas tindakan saya) dan memohon maaf,” kata beliau.

Beliau juga menyeru agar jawatankuasa eksekutif pusat parti meneliti penjelasan beliau tentang insiden tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat isu ini.

“Saya percaya, harapan saya ini adalah selaras dengan apa yang diperjuangkan DAP, (iaitu) pemilihan yang adil dan telus,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.