
Katanya, beliau lebih yakin selepas menerima dos kedua vaksin itu yang dapat meningkatkan antibodi dan daya ketahanan badannya terhadap virus terbabit.
“Saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau secara fizikal di pejabat kesihatan daerah bagi membolehkan kita sama-sama menjayakan Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) 2021 yang dilancarkan pada 24 Feb lalu.
“Ini penting bagi membolehkan Malaysia mencapai sasaran mewujudkan ‘imuniti kelompok’ dengan lebih cepat, sekali gus dapat melindungi diri dan keluarga kita daripada dijangkiti wabak Covid-19.
“Saya difahamkan sehingga kini lebih 5.6 juta rakyat Malaysia sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Presint 18 sebentar tadi.
Muhyiddin menerima dos kedua itu selepas 21 hari disuntik dos pertama vaksin Comirnaty 24 Feb lalu.
Terdahulu, beliau tiba pada 3.05 petang tadi dan disambut Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham.
Beliau kemudiannya dibawa ke stesen suntikan dan diberi penerangan ringkas sebelum divaksin oleh Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar pada 3.16 petang.
Selepas itu, Muhyiddin menunjukkan plakad “Saya sudah lengkap dua dos”.
Selain perdana menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut menerima dos kedua vaksin empat minit kemudian oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina Ibrahim.
Enam petugas kesihatan turut menerima suntikan dos kedua vaksin, iaitu Pegawai Perubatan, Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin, pemandu Kementerian Kesihatan, Clement Marai Francis serta tiga jururawat, iaitu Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin.