Lebih 100 babi liar mati akibat ASF

Lebih 100 babi liar mati akibat ASF

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, impak virus itu berupaya memberi kesan buruk kepada ekonomi Sabah.

Punca penularan Demam Babi Afrika itu masih dalam siasatan.
SANDAKAN:
Sekurang-kurangnya 100 babi liar di hutan simpan Sabah, ditemukan mati sehingga hari ini disyaki akibat Demam Babi Afrika (ASF), kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga.

Katanya, sejak penemuan 14 bangkai haiwan itu di Kinabatangan antara Disember dan Januari lepas, hampir setiap hari pihaknya menemukan sekurang-kurangnya satu bangkai babi liar daripada spesies Babi Berjanggut Borneo itu.

“Pada awal siasatan, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah tidak menemukan tanda virus ASF pada bangkai babi liar yang ditemukan (di Kinabatangan).

“Kini, telah disahkan haiwan tersebut mati akibat ASF susulan penemuan virus itu pada bangkai babi domestik di Pitas, (yang diisytihar kawasan penularan ASF pada 23 Feb lepas) dan virus itu telahpun merebak ke kawasan lain di Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tuuga berkata punca penularan virus itu terhadap haiwan berkenaan masih dalam siasatan.

Menurutnya, meskipun ASF tidak menjangkiti manusia, namun impak penularan virus itu berupaya memberi kesan buruk kepada ekonomi Sabah, termasuk usaha kerajaan negeri memelihara hutan dan hidupan liar di negeri ini.

Beliau berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah telah membekukan pengeluaran permit memburu sementara waktu sejak setahun lalu, sehingga diberitahu kelak.

Susulan penularan ASF di negeri ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah memberitahu, kerajaan negeri mengisytihar daerah yang terkesan sebagai kawasan penularan ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015.

Daerah berkenaan ialah Pitas dan Kota Marudu, membabitkan babi domestik, serta Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Sandakan, membabitkan babi liar.

Pengisytiharan itu akan membolehkan DVS menjalankan langkah kawalan penularan virus itu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, termasuk melupuskan babi sama ada domestik mahupun liar.

Bagaimanapun, ladang ternakan babi secara komersial di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang, masih bebas daripada virus ASF itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.