Bazar Ramadan sudah dibenarkan, Parlimen bila lagi, soal Puad

Bazar Ramadan sudah dibenarkan, Parlimen bila lagi, soal Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan alasan persidangan Parlimen ditangguhkan kerana ramai Ahli Parlimen sudah tua 'melucukan'.

PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi sekali lagi membangkitkan isu pelangsungan kembali sidang Parlimen, selepas pengumuman semalam bahawa bazar Ramadan dan Aidilfitri, serta solat Tarawih telah dibenarkan diadakan dalam tempoh darurat.

Puad berkata, alasan persidangan Parlimen ditangguhkan kerana ramai Ahli Parlimen sudah tua, seperti yang digunakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini tidak boleh lagi diguna pakai, memandangkan ramai warga emas juga akan mengunjungi bazar Ramadan.

“Relevan lagikah darurat? Kalau semua sudah boleh, kerajaan sepatutnya beri tarikh kepada Yang di-Pertuan Agong bila Parlimen boleh bersidang.

“Alasan ramai Ahli Parlimen sudah tua paling tidak logik. Sudah tentu ramai warga emas akan pergi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat Tarawih. Alasan jangan melucukan,” kata beliau di Facebook.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat Tarawih dibenarkan beroperasi tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi oleh setiap mereka yang terlibat.

Pada 3 Mac, Takiyuddin berkata kerajaan mempunyai alasan perundangan dan alasan dari sudut sains dan data untuk menangguhkan persidangan Parlimen.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja mahu membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat, sebaliknya turut melindungi 220 Ahli Parlimen, memandangkan sebilangan besar daripada mereka tergolong dalam kumpulan berisiko, disebabkan usia mereka.

Menurut Puad, persidangan Parlimen penting untuk diadakan supaya Ahli-Ahli Parlimen lain dapat memastikan pihak eksekutif tidak melakukan “kemungkaran tersembunyi” setelah kuasa semak dan imbang sudah tidak ada lagi.

“Ini soalan untuk Perdana Menteri. Angka yang menurun sekarang ini adakah kerana perintah kawalan pergerakan atau kerana darurat? Hadapilah realiti dengan berani,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.