
Bercakap pada pelancaran laporan Bank Dunia “Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development”, ahli ekonomi berkata dengan kemunculan bidang automasi, pelajar perlu cukup bersedia dengan suasana tempat kerja yang akan berubah dengan pantas, beberapa tahun akan datang.
Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara, Yeah Kim Leng, berkata kekurangan tenaga kerja mahir sering disebut sebagai halangan utama dalam kemampuan negara untuk menarik pelaburan berkualiti lebih baik.
“Dalam jangka pendek, kita perlu meningkatkan dan melatih semula tenaga kerja dengan mewujudkan kelayakan akademik yang lebih responsif dan dapat disesuaikan dengan tuntutan pasar tenaga kerja.”
“Kita perlu memperkukuhkan kemahiran asas dalam tenaga kerja kita dan mewujudkan program khusus untuk industri peringkat tinggi dalam jangka panjang,” katanya,
Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand Ndiamé Diop menyuarakan pandangan itu sambil menambah sistem pendidikan harus menawarkan lebih banyak kemahiran dalam dunia yang kian berubah.
“Automasi dan digitalisasi adalah trend dunia pekerjaan kini, dan ia memerlukan set kemahiran berbeza. Sistem pendidikan perlu pantas menyesuaikan diri dan menawarkan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran yang berubah dengan pantas, jika tidak, berkemungkinan lulusan universiti yang semakin meningkat jumlahnya kini sukar mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia Carmelo Ferlito, memberitahu FMT semalam pendidikan menengah perlu mula memperkenalkan kemahiran profesional untuk membolehkan mereka yang tidak berpeluang ke kolej akan mendapat akses ke pasaran pekerjaan.
“Contohnya perakaunan. Kemahiran ini boleh diajar di sekolah menengah sementara pendidikan tinggi perlu dikhususkan untuk kerja ilmiah dan profesion liberal,’’ kata Ferlito.
Selain itu, Pengasas Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Abdul Rahim berkata, “pendidikan dan ekonomi saling berkait,” sambil menambah melainkan institusi seperti sekolah vernakular mendapat pembiayaan yang lebih baik, penambahbaikan akan berjalan perlahan.