Pemandu jengkaut hadapi 5 tuduhan tembak mati isteri ketika tidur

Pemandu jengkaut hadapi 5 tuduhan tembak mati isteri ketika tidur

Hanafi Patahur Rahim, 43, dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, 3.30 pagi, 1 Mac lalu.

Tertuduh, Hanafi Patahur Rahim, 43, menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan majistret Rashidah Baharom. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan membunuh isterinya dan memiliki senjata api tanpa permit.

Tertuduh, Hanafi Patahur Rahim, 43, menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan majistret Rashidah Baharom.

Hanafi dituduh membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, di sini, jam 3.30 pagi, 1 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret kemudian menetapkan 18 April depan bagi sebutan semula untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat, lapor Berita Harian.

Di Mahkamah Sesyen pula, Hanafi dihukum penjara enam tahun terhadap empat pertuduhan iaitu memiliki dua laras senapang dan peluru tanpa kebenaran.

Hakim Zahillah Mohammad Yusoff membuat keputusan itu selepas Hanafi mengaku bersalah atas semua empat pertuduhan berkenaan.

Tertuduh dilaporkan menembak mati isterinya ketika mangsa tidur di kediaman mereka di Taman Saujana Kota Tinggi.

Mayat ibu dua anak itu dijumpai di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes itu dipercayai bermotifkan cemburu. Polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.