Xavier terus ‘bisu’ tindakan keluar PKR, hanya jawab ‘kekal dengan pendirian’

Xavier terus ‘bisu’ tindakan keluar PKR, hanya jawab ‘kekal dengan pendirian’

Bekas naib presiden PKR itu memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Sabtu lalu.

Dr Xavier Jayakumar berada di kompleks sukan di Banting pagi ini untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden PKR Xavier Jayakumar terus membisu mengenai tindakannya keluar daripada parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan Xavier melepaskan jawatannya dalam PKR, memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas, dan menyokong kerajaan PN Sabtu lalu didakwa segelintir pihak mempunyai kaitan dengan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Menerusi rakaman video disiarkan Sinar Harian di Facebook, Xavier, ketika ditanya pemberita mengenai kaitan siasatan SPRM dengan tindakannya keluar parti, terus bergegas menuju ke keretanya tanpa memberi komen.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu bagaimanapun dipetik berkata, “Saya kekal dengan pendirian saya, itu sahaja”.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak menyindir tindakan Xavier itu, yang menurutnya secara kebetulan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dikaitkan dengan kes SPRM.

Individu yang mempunyai kaitan rapat dengan Xavier ditahan berkaitan kes rasuah, di mana wang tunai RM1.2 juta disita, RM77 juta dalam akaun bank dibeku serta beberapa kereta mewah dirampas.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan Xavier bertindak keluar parti selepas beliau diberi amaran oleh seorang menteri kanan untuk berbuat demikian atau “berdepan akibat yang serius”.

Beliau mendakwa, Xavier menjadi sasaran dalam “usaha tersusun” PN menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang dengan “cara umpan dan ugutan menggunakan polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM”.

Dalam catatan di Facebook, Xavier, yang menyertai PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 1998 berkata, beliau amat kecewa dengan perkembangan politik tanah air dan mahu membantu kerajaan PN memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.