Sindiket lombong bitcoin lumpuh kerana ‘bunyi bising’

Sindiket lombong bitcoin lumpuh kerana ‘bunyi bising’

Kegiatan sindiket itu yang aktif sejak enam bulan lalu terbongkar apabila penduduk di kawasan sekitar curiga dengan bunyi bising serta pergerakan keluar masuk premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Terawe memeriksa mesin melombong bitcoin yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Rawang pada 9 hingga 14 Mac lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Satu sindiket perlombongan bitcoin di sekitar Rawang lumpuh selepas polis menahan enam lelaki tempatan menerusi serbuan ke atas tiga premis dalam tempoh 9 hingga 14 Mac.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Terawe berkata, kegiatan sindiket itu yang aktif sejak enam bulan lalu terbongkar apabila penduduk di kawasan sekitar curiga dengan bunyi bising serta pergerakan keluar masuk premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua premis tersebut, polis menemukan 131 mesin melombong bitcoin yang beroperasi menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, siasatan mendapati setiap mesin terbabit menjana keuntungan hingga RM11,000 sebulan, manakala semua suspek yang ditahan menerima upah RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Semua suspek berusia 20 hingga 58 tahun yang dipercayai ahli sindiket itu ditahan reman empat hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan khianat serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mencuri bekalan elektrik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.