Polis siasat pelanggaran SOP sewaktu konvensyen DAP Perak

Polis siasat pelanggaran SOP sewaktu konvensyen DAP Perak

Polis Ipoh sahkan terima laporan mengenai kesalahan berkenaan semasa kekecohan semasa acara tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz  berkata, pelanggaran SOP itu berlaku semasa tercetusnya kekecohan dalam perjalanan konvensyen tersebut dalam bentuk pertengkaran mulut, tetapi keadaan berjaya dikawal. 
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dakwaan berlakunya pelanggaran SOP Covid-19 ketika Konvensyen DAP Perak ke-19 semalam.

Dalam kenyataan, Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan polis menerima laporan mengenai kesalahan melanggar SOP yang dilakukan ketika terjadinya kekecohan semasa acara tersebut.

“Kekecohan yang berlaku semasa perjalanan atur cara konvensyen ini adalah berbentuk pertengkaran mulut dan keadaan berjaya dikawal tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini,” kata beliau.

Asmadi merujuk kepada insiden yang berlaku sewaktu Konvensyen DAP Perak ke-19 susulan dakwaan wujudnya pengundi hantu yang akan memilih ahli ke jawatankuasa negeri dan isu tempoh pengundian tiba-tiba dilanjutkan.

Kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan konvensyen tersebut yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.

Menurut Asmadi dalam kenyataan, polis Ipoh tidak dimaklumkan tentang penganjuran acara tersebut.

“Konvensyen tersebut merupakan satu acara tertutup dan pihak polis daerah Ipoh tidak dimaklumkan tentang penganjuran program tersebut.

“Sesungguhnya, penganjuran program ini dibenarkan di bawah SOP PKPB digariskan Majlis Keselamatan Negara dengan 50% kapasiti dewan dan syarat SOP PKPB dipatuhi,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.