Masih ada majikan tak peduli soal penginapan pekerja, kata pembantu menteri

Masih ada majikan tak peduli soal penginapan pekerja, kata pembantu menteri

Isnin Aliasnih berkata beberapa penginapan dilihat tidak mematuhi keperluan minimum mengikut Ordinan Darurat (Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446) yang diluluskan dan berkuatkuasa 26 Feb lalu.

Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan pemeriksaan terhadap bilik penginapan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
KOTA KINABALU:
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Isnin Aliasnih berkata, pihaknya mendapati masih ada segelintir pengusaha kilang yang seolah-olah tidak mempedulikan soal penginapan pekerja mereka.

Katanya, beberapa penginapan dilihat tidak elok iaitu tidak mematuhi keperluan minimum mengikut Ordinan Darurat (Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446) yang diluluskan dan berkuatkuasa pada 26 Feb lalu.

“Hasil operasi, beberapa penginapan dilihat tidak elok iaitu tidak mematuhi keperluan minimum bawah EO 446 dan ada juga majikan menempatkan pekerja dalam kilang.

“Perkara ini seolah-olah majikan tidak mempedulikan penginapan pekerja mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan Pekerja di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), hari ini.

Isnin berkata, mendirikan tempat penginapan dalam kawasan kilang dan tiada perakuan penginapan antara kesalahan dikesan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam operasi itu.

Operasi bermula 9.30 pagi itu menumpukan dua lokasi kilang yang dijadikan tempat penginapan pekerja di kawasan KKIP.

Isnin berkata, sejak operasi dilaksanakan pada 2 Mac lalu, sebanyak 940 penginapan membabitkan 240 majikan diperiksa dan seramai 9,378 pekerja ditempatkan di tempat penginapan.

“Hasil pemeriksaan itu, 1,367 kesalahan dikesan dan semua kesalahan ini telah diberi syor serta arahan agar majikan memenuhinya dalam tempoh ditetapkan.

“Majikan yang didapati ingkar mematuhi arahan, akan dikenakan tindakan pendakwaan iaitu penalti maksimum sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM100,000 untuk setiap kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JTK Sabah Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, didapati tiada satu pun majikan yang memohon perakuan penginapan terbabit.

“Bermula hari ini lawatan kali kedua akan dibuat dan mana-mana yang tidak patuh akan dibuka kertas siasatan, seterusnya pendakwaan dilakukan.

“Jadi, saya menyeru semua majikan supaya memohon perakuan penginapan daripada JTK dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan struktur rumah didiami pekerja selamat atau sebaliknya dan apabila sudah diluluskan baru JTK akan melihat kemudahan lain yang perlu disediakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.