
Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Zulkifli berkata, cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Penasihat Undang-Undang Jakim Jumaat lalu.
Portal al-Bayan dibangunkan pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
Zulkifli berkata, pertemuan itu antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu melibatkan aspek teknikal.
“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya.
Sementara itu, dalam catatan di Facebooknya, Zulkifli berkata, pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil NGO Islam juga akan diambil kira dalam Munaqasyah Khas itu esok.
Katanya, kerajaan sentiasa menganggap NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.
“Sinergi yang berkesan insya Allah akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya yang turut berkongsi lawatannya ke ibu pejabat Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) untuk bertukar-tukar pandangan dan mencari titik persefahaman antara kerajaan dan NGO Islam.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab lain, iaitu “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” turut dibenarkan untuk digunakan.
Hari ini, Kementerian Dalam Negeri dan Putrajaya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.