Dalang sindiket antarabangsa ‘tersungkur’, polis rampas pistol, syabu RM5.2 juta

Dalang sindiket antarabangsa ‘tersungkur’, polis rampas pistol, syabu RM5.2 juta

Susulan penahanan lelaki itu, polis menemukan dan merampas tujuh telefon bimbit, dua kereta Volkswagen di sekitar kawasan Jalan Batu Feringghi sebelum melakukan serbuan kedua ke rumah teres di Teluk Bahang.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan menunjukkan pistol dan dadah dirampas hasil penahanan seorang lelaki yang juga ketua sindiket dadah antarabangsa pada sidang media hari ini.
GEORGE TOWN:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negeri ini selepas menahan ketuanya dan seorang warga Bangladesh serta merampas syabu seberat 144.7kg bernilai RM5.2 juta, dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, dalam serbuan pertama pada 6.30 petang Jumaat, pihaknya bertindak mengekori seorang lelaki berusia 54 tahun di Jalan Batu Ferringhi, sebelum suspek yang memandu kereta jenis Mercedes Benz memecut sebaik menyedari kehadiran polis.

“Lelaki itu memecut menuju ke kawasan pantai sebelum keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan suspek yang merupakan ketua sindiket pengedaran dadah antarabangsa berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam but kereta itu…polis merampas 15 bungkusan syabu seberat 15kg bernilai RM540,000, sepucuk pistol, satu kelopak mengandungi 14 butir peluru dan sebuah kotak berisi 39 butir peluru hidup,” katanya pada sidang media.

Susulan penahanan lelaki itu, polis menemukan dan merampas tujuh telefon bimbit dan dua kereta Volkswagen di sekitar kawasan Jalan Batu Feringghi sebelum melakukan serbuan kedua ke rumah teres di Teluk Bahang, pada 5 petang, Sabtu lepas.

Sahabudin berkata, hasil serbuan di rumah dijadikan stor menyimpan dadah itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang merupakan penjaga rumah teres berkenaan.

“Polis juga merampas sejumlah 129.7kg syabu bernilai RM4.6 juta yang disimpan di rumah dijadikan pusat transit sebelum dadah berkenaan dipasarkan hanya ke Indonesia melalui jalan laut,” katanya menambah sindiket yang mempunyai rangkaian pengedaran dadah antarabangsa itu dipercayai mendapatkan bekalan dari Thailand.

“Sindiket itu akan membawa dadah ke kawasan perairan iaitu kira-kira 25 hingga 30 batu nautika dari pantai negeri ini sebelum membuat urusan jual beli dadah di lautan,” katanya menambah kegiatan itu dijalankan sejak setahun lepas.

Sahabudin berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan bot fiber seperti digunakan nelayan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Polis kini sedang mengesan beberapa lagi ahli sindiket berkenaan dan kami juga telah bekerjasama dengan polis Indonesia bagi mengesan rangkaian sindiket di negara berkenaan,” katanya.

Dalam serbuan di Teluk Bahang itu, polis turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda iaitu Ford Ranger dan Toyota Harrier serta sebuah motosikal jenis Yamaha dengan keseluruhan nilai sitaan kenderaan berjumlah RM561,800.

Menurutnya, suspek warga tempatan itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata API 1971.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.