Sabah benarkan aktiviti rekreasi laut mulai esok

Sabah benarkan aktiviti rekreasi laut mulai esok

Selam skuba, snorkel dan memancing antara aktiviti dibenarkan mengikut SOP termasuk dengan kapasiti 50% berkuat kuasa esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata muatan penumpang bagi bot laju terbuka dan tertutup juga dibenarkan mengikut kapasiti. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah membenarkan aktiviti rekreasi laut dan sungai seperti selam skuba, selam snorkel dan memancing mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk dengan kapasiti 50% berkuat kuasa mulai esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata ia pindaan SOP yang dibuat bersesuaian dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

“Muatan penumpang bagi bot laju terbuka dan tertutup yang membawa individu untuk aktiviti rekreasi laut dan sungai juga dibenarkan mengikut kapasiti tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter antara penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, 39 kes baharu positif dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Sabah sebanyak 53,903 kes.

Seramai 158 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumuatif pesakit sembuh seramai 52,869 orang, katanya.

Mengulas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri, Masidi berkata, seramai 2,975 individu lagi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25,439 penerima sejak program berkenaan dilancarkan pada 4 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.