Polis tahan 34 komuniti Pala’u termasuk 25 kanak-kanak mengemis di Lahad Datu

Polis tahan 34 komuniti Pala’u termasuk 25 kanak-kanak mengemis di Lahad Datu

Komuniti Pala'u ini tidak menghiraukan risiko jangkitan wabak Covid-19 dan boleh mengakibatkan penularan pandemik.

Komuniti Pala’u dianggap mencabar undang-undang sedia ada dengan berlindung atas status tanpa warganegara. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU:
Polis menahan 34 komuniti Pala’u termasuk 25 kanak-kanak yang menjalankan aktiviti mengemis di dua persimpangan lampu isyarat, di Jalan Bunga Raya dan Bandar Sri Perdana, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Rohan Shah Ahmad berkata dalam Op Covid-19 selama sejam bermula 12 tengah hari itu, mereka yang ditahan termasuk sembilan wanita dan kanak-kanak, berumur antara dua hingga 41 tahun.

“Mereka ini tidak menghiraukan risiko jangkitan wabak Covid-19 dan boleh mengakibatkan penularan pandemik serta dianggap mencabar undang-undang sedia ada dengan berlindung atas status tanpa warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Komuniti Pala’u atau lebih dikenali sebagai ‘Bajau Laut’ sering menjalani kehidupan secara nomad di laut sekitar Sabah.

Menurut Rohan Shah kesemua tahanan akan disiasat di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan)(No.3) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

Sementara itu, katanya warga tempatan dinasihatkan agar tidak memberi sedekah kepada pengemis di jalan raya terutamanya di kawasan lampu isyarat yang boleh menganggu lalu lintas.

“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Kesalahan Dalam Kaedah-kaedah Lalulintas: Kaedah 41 LN 166/59 yang memperuntukan bahawa pejalan kaki tidak boleh berlengah-lengah di lintasan jalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.