
Dalam catatan di Facebook, beliau berkata, strategi PN menerima Ahli Parlimen dari parti lain tidak akan memperkasakan gabungan itu, sebaliknya hanya menunda kejatuhannya daripada kuasa.
“PN sekarang menjadi perikatan dengan dukungan pelbagai individu bermasalah. Percayalah, mereka ini hanya ingin menyelamatkan diri mereka dan bukan PN,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akhirnya akan terbeban dengan kontroversi Ahli Parlimen yang diterimanya itu.
Bekas menteri besar Johor itu berkata, tiada pergerakan politik yang dibina dengan “pendekatan tidak bermoral” sedemikian akan mampu bertahan kerana kestabilan dan kelangsungannya patut bergantung kepada kerja keras serta keyakinan terhadap nilai yang diperjuangkan.
Beliau berkata, PN ditubuhkan tanpa ideologi dan kejelasan perjuangan.
“Semua ini adalah ramuan untuk kegagalan yang pasti.”
Katanya, tidak kira berapa lama PN berusaha memanjangkan tempohnya di Putrajaya, masa depannya terletak di tangan pengundi yang mempunyai pemikiran “sofistikated”.
“Mereka lupa Barisan Nasional suatu dulu lebih kukuh dan berkuasa daripada keadaan PN sekarang, tetapi boleh ditewaskan juga,” katanya sambil menambah BN akan terus memfokuskan usaha “menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya”.
Awal minggu ini Dr Xavier Jayakumar meletak jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR dan berkata akan terus berkhidmat untuk penduduk di kawasan Kuala Langat yang diwakilinya serta menyokong kerajaan PN sebagai Ahli Parlimen bebas.
Peletakan jawatannya menyusul dua wakil rakyat PKR lain, iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang keluar parti bulan lalu serta menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.