PKPD di Penjara Tapah dilanjut hingga 29 Mac

PKPD di Penjara Tapah dilanjut hingga 29 Mac

Masih ada 562 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan penularan kes dalam kalangan tahanan di penjara itu.

Hasil saringan ke atas 2,660 orang mendapati 556 kes positif Covid-19 di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Batang Padang, Perak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Batang Padang, Perak yang sepatutnya berakhir 15 Mac ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 29 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 562 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan masih ada penularan kes dalam kalangan tahanan di penjara itu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 556 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, PKPD di asrama pekerja di Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak akan ditamatkan seperti dijadualkan esok.

Ini kerana, katanya, tiada kes baharu direkodkan di lokaliti itu dan kluster berkenaan terkawal, dengan semua kes positif serta kontak rapat sudah diasingkan.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 389 kes positif dilaporkan.”

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 223 individu ditahan atas kesalahan mengingkari SOP semalam, dengan 216 daripadanya dikompaun dan tujuh lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (70), tidak memakai pelitup muka (55), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (47), gagal mematuhi penjarakan fizikal (24), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.