Lelaki maut diserang guna botol bir, pisau

Lelaki maut diserang guna botol bir, pisau

Dendam dipercayai motif serangan oleh lima suspek dengan video kejadian tersebar di media sosial.

Polis berkata, mangsa berusia 28 tahun itu diserang ketika dia dan seorang rakan dalam perjalanan ke tempat letak kereta di sebuah lorong belakang dekat pusat beli-belah Bangsar Village. (Gambar Whatsapp)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki maut ditikam menggunakan botol bir pecah serta ditoreh pisau, selepas diserang lima lelaki dipercayai berpunca daripada dendam di Bangsar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar dalam kenyataan berkata, mangsa berusia 28 tahun itu diserang ketika dia dan seorang rakan dalam perjalanan ke tempat letak kereta di lorong belakang, selepas minum di Jalan Telawi 3.

Katanya, lima lelaki yang mengenali mangsa dilaporkan menyerangnya menyebabkan dia melarikan diri ke arah pusat beli-belah Bangsar Village sebelum rebah dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di PPUM, manakala rakannya parah di bahagian muka dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Motif kejadian dipercayai akibat dendam lama antara si mati dan suspek. Lima suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.”

Beliau berkata, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian serta cedera parah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana balai berdekatan.

Rakaman video mangsa dan rakannya dibelasah sekumpulan lelaki di belakang Bank Affin, Jalan Telawi 3 tular di media sosial.

Dua mangsa itu kemudiannya dilihat melarikan diri, dengan seorang daripadanya rebah dan cuba dibantu rakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.