‘Sangkut berjam-jam’ selepas polis tingkatkan sekatan jalan raya

‘Sangkut berjam-jam’ selepas polis tingkatkan sekatan jalan raya

Pengguna media sosial kongsi gambar, video kesesakan teruk dengan ada antara mereka mendakwa terperangkap lebih sejam.

Kesesakan lalu lintas teruk berhampiran plaza tol Sungai Besi dengan pemandu mendakwa terperangkap ‘lebih sejam.’ (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia yang berang menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial hari ini kerana terperangkap dalam kesesakan teruk akibat sekatan jalan raya.

Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador semalam mengarahkan ketua polis negeri meningkatkan saringan di sempadan negeri selepas menerima laporan bahawa ada anggota yang tidak memeriksa pemandu di sekatan jalan raya.

Dengan perjalanan antara daerah dibenarkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan pada 4 Mac, manakala perjalanan merentas negeri melibatkan negeri di bawah PKP Bersyarat (PKPB), Hamid berkata sekatan dan pemeriksaan lebih ketat akan diadakan di sekatan jalan raya untuk menghalang kluster perjalanan dan memastikan undang-undang dipatuhi.

Dalam video yang tular di WhatsApp hari ini, seorang lelaki dalam kereta yang menuju ke arah sekatan jalan raya di lokasi yang tidak didedahkan berkata beliau terperangkap sejam dalam kesesakan.

“Inilah yang terjadi apabila orang ramai mengadu polis sekadar duduk di khemah dan melambai kepada pemandu di sekatan jalan raya,” katanya dalam video diambil di dalam keretanya yang terperangkap dalam kesesakan.

“Hari ini mereka (polis) menyahutnya, dan memeriksa semua orang.”

Sementara itu, pengguna Twitter menggunakan nama @mienanna mengongsikan semula video kesesakan lalu lintas di plaza tol Senawang di Seremban, Negeri Sembilan, di mana beliau terperangkap lebih sejam.

Sekatan seumpamanya turut diadakan di plaza tol Sungai Besi dan Lebuh Raya Persekutuan.

Seorang pengguna Twitter, @fitrynx malah menyoal sekatan jalan raya di dalam negeri Selangor, sambil memuat naik gambar kereta beratur di sekatan jalan raya di Bukit Raja, Selangor.

Sementara itu, dua Ahli Parlimen turut menggunakan Twitter untuk menyuarakan kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas di pelbagai lokasi akibat sekatan jalan raya.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, sekatan jalan raya selepas tol Sungai Besi “mengakibatkan kesesakan teruk.”

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pula meminta polis mempertimbangkan untuk berhenti mengadakan sekatan jalan raya kerana melibatkan lokasi digunakan setiap hari oleh penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor untuk bekerja atau bersekolah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkifli Yahya memberitahu FMT, selepas berbincang dengan KPN pihaknya berhenti mengadakan sekatan jalan raya pada jam 7 malam disebabkan kesesakan teruk diakibatkannya.

“Hasil kajian kami menyedari 90% orang yang dihentikan adalah dari Kuala Lumpur atau Selangor yang tidak memerlukan izin perjalanan,” katanya.

“Selebihnya 10% dari negeri lain seperti Negeri Sembilan atau Perak, yang mempunyai permit perjalanan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.