
Beliau berkata, undang-undang untuk mengawal berita palsu berkaitan pandemik Covid-19 boleh difahami kerana kesihatan penting.
“Namun, mengapa kita tidak boleh bercakap mengenai isu semasa lain? Adakah ia bertujuan menutup mulut ahli politik? Adakah mereka cuba membendung perbincangan yang sihat?” soalnya.
Ordinan tersebut, yang berkuat kuasa hari ini, boleh digunakan ke atas semua media “yang boleh mencadangkan perkataan atau idea”, seperti berita, video dan bahan audio.
Undang-undang darurat tidak memerlukan kelulusan Parlimen.
Razlan beritahu FMT ordinan baharu itu “seolah-olah memberi kuasa luas kepada kerajaan”.
Bertanya tentang apakah “berita palsu”, beliau berkata: “undang-undang itu masih samar-samar dan kami (dalam Umno) bimbang ia mungkin disalahgunakan”
Katanya, ada masanya artikel berita ditulis berdasarkan maklumat yang diberikan oleh “sumber” atau bahan tular di Facebook, Tik Tok, atau Instagram.
“Apabila ahli politik dan individu yang mengulas bahan tersebut, adakah mereka akan dikenakan tindakan? Ia terlalu samar dan masih boleh dibincangkan.
“Bagaimana kita tahu jika sumber atau bahan itu palsu? Kita mungkin hanya mengulas bahan yang diketengahkan.”
Beliau berkata, perbincangan sihat amat penting dalam demokrasi dan rakyat seharusnya boleh membincangkan isu semasa.
Selain itu katanya, kerajaan boleh menggunakan undang-undang komunikasi dan multimedia sedia ada untuk mendakwa seseorang yang mengganggu keharmonian.
“Undang-undang sedia ada sudah memadai,” katanya.
Berkuat kuasa hari ini, mereka yang membuat, menerbitkan atau menyebarkan berita palsu boleh dikenakan denda hingga RM100,000, hukuman penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bawah ordinan darurat yang baharu.
Mereka yang membayar untuk membuat berita palsu sedemikian akan dikenakan hukuman lebih berat, dengan denda hingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.
Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Penting) (No. 2) 2021 mentakrifkan “berita palsu” sebagai berita atau maklumat yang “sepenuhnya atau sebahagiannya palsu berkaitan Covid-19 atau pengisytiharan darurat”.
Di samping itu, mahkamah boleh memerintahkan mereka yang disabitkan dengan kesalahan meminta maaf kepada pihak yang terkesan dengan tindakan mereka.
Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan denda tambahan hingga RM50,000, hukuman penjara kurang satu tahun, atau kedua-duanya.
Peruntukan bawah ordinan itu menyerupai Akta Anti Berita Palsu, yang dimansuhkan pada 2019 semasa pentabiran Dr Mahathir Mohamad.