11 ditahan bantu siasatan palsu sijil keputusan ujian Covid-19 di Sarawak

11 ditahan bantu siasatan palsu sijil keputusan ujian Covid-19 di Sarawak

Ketua JSJK Sarawak Maria Rasid berkata sebuah klinik swasta turut disiasat kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen dengan menawarkan RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen berkenaan.

Tangkapan itu susulan dua laporan polis dibuat pada 3 dan 8 Mac lalu, kata Ketua JSJK Sarawak Maria Rasid.
KUCHING:
Sebelas lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dua laporan pemalsuan dokumen Sijil Keputusan Ujian RT-PCR (Real-Time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction) Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Maria Rasid berkata dua laporan polis itu dibuat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 3 Mac dan 8 Mac lalu.

“Susulan laporan polis yang dibuat itu, JSJK Sarawak menahan 11 lelaki di sekitar daerah Kuching pada 7 Mac lalu dan hari ini (12 Mac) serta merampas sebuah telefon bimbit dan beberapa keping kad sim milik seorang daripada lelaki itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 Sarawak hari ini.

Beliau berkata sebuah klinik swasta turut disiasat kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen sijil keputusan ujian RT-PCR Covid-19 itu dengan menawarkan bayaran RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen berkenaan.

Maria berkata lapan daripada lelaki yang ditahan pada 7 Mac itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis memandang serius isu penipuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang- undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.