
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu kilang itu pada 7.30 malam dan menahan tiga lelaki yang berada di situ sebelum menahan seorang lagi di George Town, semuanya berusia 38 hingga 49 tahun.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kilang itu, polis berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis syabu yang dipercayai beroperasi di situ sejak Ogos tahun lalu dan merampas 66kg syabu serta 37l cecair syabu.
“Selain itu, kami turut merampas 35 tong mengandungi 885l pelbagai cecair kimia yang digunakan untuk memproses syabu, serta peralatan dan mesin saiz industri untuk memproses dadah, dipercayai direka sendiri sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media.
Katanya berdasarkan siasatan, seorang penganggur berumur 42 tahun yang ditahan ketika serbuan di kilang itu didapati mempunyai kepakaran untuk memproses syabu. Dia mempunyai lapan rekod lampau iaitu enam berkaitan dadah serta dua rekod jenayah.
Shafee berkata, sindiket itu didapati menjalankan proses membuat syabu di situ 24 jam sehari dan mampu menghasilkan 40kg hingga 50kg syabu setiap 45 hari dengan mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebulan.
“Tukang masak yang memproses dadah itu dipercayai belajar menghasilkan syabu menerusi maklumat diperoleh secara dalam talian. Proses untuk menghasilkan kristal (syabu) memakan masa, sebab itu sindiket berkenaan memasaknya 24 jam setiap hari supaya dapat menghasilkannya dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Beliau berkata, dadah bernilai RM2.9 juta yang dirampas itu boleh digunakan oleh 400,000 penagih dan menurutnya ketika serbuan tiga lelaki termasuk dalang utama sindiket yang berusia 49 tahun dan bekerja sebagai mekanik, berada di kilang itu.
“Polis turut menyita wang tunai, barangan kemas, tiga kenderaan iaitu Toyota Velfire, Vios dan Camry serta tiga akaun bank yang semuanya bernilai RM281,726. Tiga daripada empat lelaki itu positif dadah dan semua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya..