Mahkamah tolak afidavit dakwaan Umno ada akaun rahsia

Mahkamah tolak afidavit dakwaan Umno ada akaun rahsia

Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam keputusan ringkasnya berkata afidavit itu difailkan di peringkat hujahan dan akan mengakibatkan prejudis kepada tuntutan Najib Razak dan Umno.

Mahkamah memutuskan afidavit itu tidak akan dianggap sebagai dokumen sokongan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak afidavit difailkan oleh pihak pendakwaan yang mengatakan Umno mempunyai akaun yang tidak didedahkan, khusus bagi menerima sumbangan politik dalam saman pelucuthakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia selepas hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan oleh peguam utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Umno Hariharan Tara Singh bagi mengetepikan afidavit itu.

Muhammad Jamil dalam keputusan ringkasnya berkata, afidavit itu difail semasa di peringkat hujahan dan akan mengakibatkan prejudis kepada tuntutan pihak ketiga, iaitu Najib dan Umno.

“Ia difail selepas semua afidavit lain difailkan dan tanpa penangguhan oleh mahkamah.

“Sehubungan itu saya menetapkan bahawa afidavit itu tidak boleh digunakan dan saya tidak akan menganggap afidavit itu sebagai sokongan. Shafee boleh meneruskan hujahan,” kata hakim itu pada sesi pendengaran oleh kerajaan bagi memohon pelucuthakan RM114,164,393.44 dan barang kemas yang dirampas daripada premis dimiliki Obyu Holdings Sdn Bhd.

Afidavit berkenaan adalah penting bagi saman pelucuthakan berkaitan 1MDB yang dibawa oleh pihak pendakwaan terhadap Obyu Holdings.

Pada 10 Feb lepas pihak pendakwaan yang diketuai timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berpendapat bahawa Umno mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik, yang dianggapnya sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1996.

Dalam hujahan bertulis saman berkenaan, pihak itu mendakwa ini kerana beberapa pemimpin Umno sendiri menafikan mereka tahu mengenainya.

Obyu Holdings dimiliki oleh Bustari Yusof, adik lelaki Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib.

Pihak pendakwaan menfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1MDB.

Pada 3 Sept 2019, Najib adalah antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pihak lain termasuk isterinya Rosmah Mansor, Umno, dan firma barangan kemas Global Royalty Trading SAL.

Penghujahan di hadapan Muhammad Jamil bersambung Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.