Kurang sokongan cabaran terbesar sejak 10 tahun penubuhan Proham

Kurang sokongan cabaran terbesar sejak 10 tahun penubuhan Proham

Kurang sokongan merupakan penghalang terbesar usaha menggerakkan Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia sejak 10 tahun penubuhannya.

Timbalan Presiden Proham Denison Jayasooria berkata, kurang sokongan dihadapi badan itu antara lain berpunca daripada salah tanggapan memandangkan nilai yang cuba diperjuangkannya dilihat tidak seiring dengan norma budaya masyarakat di Malaysia.
PETALING JAYA:
Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham) menyifatkan kurang sokongan merupakan penghalang terbesar dalam usaha menggerakkan badan itu sejak 10 tahun penubuhannya.

Timbalan presiden Proham Denison Jayasooria berkata, perjuangan berkait hak asasi manusia di negara ini adalah satu cabaran yang besar ekoran persekitaran yang tidak menyokong.

Ia disebabkan salah tanggapan memandangkan nilai yang cuba diperjuangkan badan itu dilihat tidak seiring dengan norma budaya masyarakat di Malaysia.

“Kebanyakan penjawat awam, termasuk yang berjawatan tinggi, tidak terbiasa dengan pendekatan berasaskan hak asasi yang kami perjuangkan,” jelas beliau.

“Ini disebabkan oleh pandangan politik negatif yang selalu mengaitkan hak asasi manusia sebagai konsep Barat dan tidak sesuai dengan nilai dan budaya Asia. Ini pemikiran lama.”

Sehubungan itu Jayasooria meminta sektor awam supaya kembali berfikir dan mengkaji semula agenda hak asasi manusia kebangsaan selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malah tegas beliau, perlembagaan persekutuan dirangka berdasarkan prinsip hak asasi manusia seperti kesamarataan dan perlindungan ke atas kebebasan hak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Proham menjelaskan biarpun terdapat sekatan ke atas kebebasan hak asasi di negara ini, namun gerakan masyarakat sivilnya dilihat bergiat aktif menentang perlanggaran hak asasi manusia baik secara domestik, serantau mahupun di peringkat antarabangsa.

“Terdapat segelintir rakyat Malaysia yang berani, iaitu mereka yang benar-benar merupakan pembela hak asasi manusia, yang membela nasib kumpulan minoriti – termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen, pelarian, migran, wanita, Orang Asli, golongan miskin dan kumpulan rentan yang lain.”

Selain meminta kerajaan memperuntukkan sejumlah wang bagi membolehkan badan hak asasi manusia meneruskan penyelidikan dan kerja guaman, Jayasooria juga mahu melihat satu undang-undang yang melindungi pembela hak asasi manusia diperkuatkan, paling tidak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Jayasooria yang merupakan pakar sosiologi dan felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia menggalakkan kerajaan, dari peringkat negeri sehingga persekutuan, menjalin kerjasama erat dengan badan hak asasi manusia di negara ini.

“Dalam tempoh 10 tahun ini saya harap masyarakat di negara ini akan lebih memahami dan menghargai hak asasi manusia, demokrasi dan amalan pengasingan kuasa,” jelas beliau.

“Saya juga berharap Malaysia dapat meraktifikasi konvensyen penting berkaitan hak asasi manusia.

“Setakat ini kita tmeraktifikasi tiga daripada sembilan konvensyen utama dan semua kakitangan kerajaan boleh menyertai kursus asas berkaitan hak asasi manusia yang dikendalikan oleh Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) dan Intan (Institut Tadbiran Awam Negara).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.