
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, mereka “amat terkejut” dengan ordinan itu yang digunakan untuk menghalang kritikan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan menggesa ia ditarik balik segera.
Katanya, ia adalah “usaha berterusan kerajaan untuk menggunakan apa saja cara bagi menggugat hak asasi dan kebebasan kita”.
Katanya, penggunaan ordinan itu secara sembarangan bertentangan norma asas kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta piawaian antarabangsa, yang jelas menyatakan orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui, mencari dan menerima, serta menyebarkan semua bentuk idea dan maklumat.
Ia turut menyifatkan tindakan kerajaan memperkenalkan semula elemen Akta Anti–Berita Tidak Benar 2018 yang dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai “membimbangkan”.
Katanya, ada kemungkinan berlaku penyalahgunaan melalui penahanan, penyiasatan dan hukuman dikenakan sewenang-wenangnya terhadap pelaku disyaki memandangkan “berita palsu” tidak ditakrifkan secara jelas dalam undang-undang.
“Kami menjangkakan lebih banyak pengawasan dan pencerobohan terhadap privasi kami, penapisan sewenang-wenangnya terhadap laporan media yang bersifat kritis dan bertentangan, serta serangan terhadap kebebasan media, dan tindakan tidak seimbang terhadap ucapan sah, seperti perbezaan pendapat dan maklumat salah.”
Berkuat kuasa esok, individu yang menghasil, menyiar atau menyebar berita palsu akan berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, di bawah undang-undang baru yang diwartakan sebagai Ordinan Darurat.
Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang turut sependapat berkata, walaupun “pada permukaannya mungkin kelihatan indah dan boleh dipersetujui bersama, namun tanpa takrif ‘berita palsu’ yang jelas, kami bimbang ia boleh disalahgunakan dan memberi kesan negatif terhadap kebebasan media”.
Mereka menggesa undang-undang yang diwartakan itu tidak digunakan untuk “menindas atau senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan” dan kekal dengan pendirian sebelum ini bagi membantah Akta Anti-berita Tidak Benar 2018.
“Melawan berita palsu dengan fakta, bukan akta.
“Kami secara konsisten menyokong apa-apa inisiatif semak fakta, terutama ketika pandemik ini yang menyaksikan banyak kekeliruan tercetus akibat perkongsian fakta tidak benar.”