
Agensi itu turut menolak dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang pembayar cukai itu disasarkan secara tidak adil.
Kenyataan Lim menyusul dakwaan Institut Cukai Berkanun Malaysia (CTIM) yang LHDN mengeluarkan surat menuntut tunggakan cukai sebelum 2018 kepada mereka yang mendaftar dalam PKPS.
Dalam respons terhadap permintaan FMT untuk mengulas, LHDN berkata, jaminan di bawah PKPS – audit tidak akan dilakukan untuk tahun cukai taksiran diisytiharkan – dikekalkan.
Bagaimanapun, katanya, PKPS mempunyai beberapa pengecualian dan syarat, salah satunya adalah semakan “pengiraan cukai untuk memastikan ketepatan pendapatan yang diisytiharkan” individu mendaftarkan dalam program itu.
LHDN berkata, ia akan melakukan semakan sekiranya pembayar cukai dalam program itu tidak menyatakan pendapatan lampau dengan jujur.
Katanya, program itu tidak meliputi perkara yang dibangkitkan dalam mahkamah.
“Syarat-syarat ini yang disertakan dengan PKPS bertujuan mencegah penipuan pengisytiharan pendapatan oleh mana-mana pembayar cukai yang mungkin menyalahgunakan program ini.
“Dengan kata lain, PKPS bergantung kepada kejujuran pembayar cukai membuat pengisytiharan mereka kepada kami ketika itu.”
LHDN berkata, semua kes PKPS dikendalikan secara berasingan dan setiap masalah berkaitan semakan akan dirujuk ke pejabat yang mengendalikan fail percukaian itu.
PKPS membenarkan mereka yang secara sengaja atau tidak sengaja mengisytiharkan jumlah lebih rendah daripada pendapatan sebenar mereka untuk membayar denda lebih rendah daripada kebiasaan 45% hingga 300%.
Mereka yang menerima tawaran itu pada 30 Sept 2019 diberitahu hanya perlu membayar denda 15% ke atas pendapatan tidak diisytiharkan.
Sebanyak RM7.7 bilion dikumpul di bawah PKPS, dari 3 Nov 2018 hingga 30 Sept 2019.
Sejumlah 286,482 pembayar cukai, termasuk 11,176 orang membayar cukai untuk pertama kalinya, menerima tawaran itu.