UPKO tak puas hati pemimpin lantikan kerajaan larang berpolitik di dewan, balai raya

UPKO tak puas hati pemimpin lantikan kerajaan larang berpolitik di dewan, balai raya

Nain Presiden Ewon Benedick berkata pentadbiran lepas membenarkan mana-mana pihak termasuk pembangkang memanfaatkan kemudahan untuk rakyat.

Naib Presiden UPKO Ewon Benedick berkata dasar pentadbiran lalu membenarkan mana-mana pihak termasuk parti politik memanfaatkan kemudahan dewan dan balai raya.
KOTA BELUD:
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak puas hati pemimpin masyarakat lantikan kerajaan negeri atau PPM melarang dewan dan balai raya digunakan untuk berpolitik, terutama oleh pembangkang, seperti yang tular di media sosial.

Naib Presiden Ewon Benedick berkata dasar pentadbiran lalu membenarkan mana-mana pihak termasuk parti politik memanfaatkan kemudahan dewan dan balai raya.

“Saya dan semua ahli jemaah menteri ketika itu menyokong agar kemudahan dewan masyarakat dan balai raya boleh digunakan termasuk oleh parti pembangkang. Mereka hanya perlu memohon dan membayar kos sewa yang berkaitan.

“Sebab itulah parti-parti pembangkang dapat menggunakan kemudahan itu untuk menganjurkan program-program mereka seperti mesyuarat agung,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas satu surat yang tular di media sosial, dikatakan daripada PPM Kadamaian, menyatakan larangan itu.

Ewon juga ADUN Kadamaian. FMT sedang menunggu jawapan PPM berkenaan.

Beliau berkata, lebih baik PPM fokus kepada membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat daripada melarang penggunaan dewan dan balai raya untuk berpolitik.

Ewon berkata, kerjasama PPM dan beliau selaku wakil rakyat menyaksikan banyak kemudahan dibangunkan di Kadamaian dalam tempoh Mei 2018 hingga Sep 2020.

“Kami bekerja keras untuk mendapatkan perhatian dan peruntukan daripada kerajaan dan dalam tempoh yang singkat, kita berjaya membangunkan Dewan Kadamaian Square kerana saya melihat keperluan dan potensinya untuk digunakan bagi pelbagai pengisian aktiviti melangkaui aktiviti dianjurkan parti politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.