Sekolah Cina di mana pelajar Melayu melebihi bangsa lain

Sekolah Cina di mana pelajar Melayu melebihi bangsa lain

Ibu bapa berbangsa Melayu memaklumkan, mereka menghantar anak ke sekolah Cina kerana mahu mereka belajar bagaimana bergaul dengan kaum lain.

SJK(C) Khai Chee di Kuala Kangsar menyaksikan peningkatan pendaftaran pelajar bukan berbangsa Cina sejak sedekad lalu.
KUALA KANGSAR:
Ahli politik sering menggunakan sekolah vernakular sebagai “modal” untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat etnik mereka sehingga menyemai pertikaian antara kaum.

Namun, di sebuah bandar terpencil di utara Perak, ramai ibu bapa berbangsa Melayu tidak mempedulikan sentimen itu dengan menghantar anak mereka bersekolah di SJK(C) Khai Chee, kira-kira 12km dari sini.

Dengan menerima pendaftaran 42 murid dari Tahun Satu hingga Enam, sekolah itu menjadi contoh rakyat Malaysia memilih perpaduan dan pendidikan berkualiti.

Sekurang-kurangnya 27 daripada murid berkenaan adalah anak Melayu dari kampung sekitarnya, dengan tiga India dan selebihnya pelajar Cina.

FMT tidak memperoleh jumlah yang tepat kerana guru besar sekolah itu menolak untuk memberikan komen, dengan menyatakan Jabatan Pendidikan mengarahkan mereka tidak bercakap dengan media.

Nurfitri bersama isteri dan anak perempuannya Nurfariza, 7.

Menurut penduduk kampung, pelajar Melayu melebihi jumlah pelajar bangsa lain di sekolah ini sejak sedekad lalu.

Sebilangan besar ibu bapa yang sempat ditemu bual ketika menunggu anak di luar sekolah menyebut dua faktor utama mereka memilih untuk menghantar anak ke sekolah Cina walaupun terdapat sekolah kebangsaan yang hanya 1km jaraknya.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurfitri berkata, dia memutuskan untuk menghantar anak keduanya ke sekolah Cina kerana mahu anaknya belajar cara bergaul dengan kaum lain.

“Saya mahu anak perempuan saya belajar budaya kaum lain di Malaysia. Selain itu, belajar bahasa ketiga di negara kita adalah penting.

“Saya diberitahu oleh ibu bapa lain yang menghantar anak mereka ke sini bahawa kualiti pendidikan juga bagus,” kata beliau.

Ruslan Sidin bersama anak perempuannya Nur Adiliah, 7.

Sementara itu, Ruslan Sidin berkata, beliau sama sekali tidak mempunyai masalah menempatkan anak perempuannya di sekolah Cina.

“Apa yang saya mahu ialah, dia memiliki pendidikan berkualiti dan mengambil bahasa Mandarin yang akan menjadi aset pada masa depan. Ada banyak kelebihan mempelajari lebih banyak bahasa di Malaysia,” kata beliau.

Seorang lagi bapa yang enggan dikenali berkata, ahli politik yang menjadikan ia sebagai isu harus membuat kajian tentang prestasi orang Melayu yang menjalani pendidikan rendah Cina di sekolah menengah bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Kerajaan juga harus melakukan tinjauan tentang bagaimana orang dewasa yang sebelum ini mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina melalui kehidupan bekerja mereka. Hasilnya pasti menarik,” kata beliau, ketika diberitahu terdapat sekitar 80,000 anak Melayu yang belajar di sekolah Cina di seluruh negara.

Menurut statistik Kementerian Pendidikan, 27% pelajar di sekolah Cina berbangsa Melayu dengan India merangkumi 4% daripada keseluruhan pendaftaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.