
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil saringan ke atas 6,875 penduduk di tujuh blok Flat Sibu Jaya mendapati 390 kes positif Covid-19.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ismail berkata, 451 orang ditahan semalam kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan, dengan 393 dikompaun dan 58 lagi direman.
Antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (129), aktiviti pusat hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79), aktiviti pelacuran (75), tidak memakai pelitup muka (49), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (28) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (9).
Katanya, 24 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dengan enam kenderaan dirampas menerusi Operasi Benteng.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 598,790 pekerja asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,500 orang disahkan positif, manakala 589,290 lagi negatif.”
Katanya, 788 individu yang pulang ke tanah air dari pelbagai negara semalam sedang menjalani kuarantin wajib.