
Anggota polis yang dikatakan berada di hadapan kenderaan itu terpaksa berpaut dalam keadaan kereta bergerak dengan jarak kira-kira 150m, sebelum berjaya melepaskan diri. Pasangan terbabit melepaskan diri namun ditahan tidak lama kemudian.
Dalam kejadian 10.30 malam tadi, anggota polis peronda memeriksa sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang mencurigakan dan diparkir dalam keadaan enjin dihidupkan di kawasan letak kereta McDonalds, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Apabila polis cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh dan mengetuk cermin kereta tersebut serta meminta pasangan terbabit keluar, lelaki yang berada di dalamnya terus memandu dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan kenderaan itu.
“Seorang anggota yang berada di hadapan kereta itu terpakasa berpaut dalam keadaan kereta bergerak dengan jarak lebih kurang 150m sebelum berjaya melepaskan diri,” kata Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan hari ini.
Zaid berkata, suspek dalam Perodua Alza itu berjaya melarikan diri menyebabkan beberapa anggotanya mengalami kecederaan ringan selain motosikal rosak.
Polis bagaimanapun berjaya menahan lelaki dan wanita dalam insiden itu selepas anggota yang terlibat mengecam nombor pendaftaran kereta suspek. Pasangan terbabit akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan,” katanya.