
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, bukanlah satu pertandingan untuk melihat siapa yang mendapat vaksin terlebih dahulu, malah tiada juga motif melibatkan keuntungan.
“Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta hanya mahu membantu sekadar boleh untuk membantu Malaysia bangkit semula,” katanya.
Beliau menambah dengan membenarkan hospital swasta membeli vaksin mereka sendiri juga akan mengosongkan slot dalam senarai menunggu kebangsaan bagi mereka yang tidak dapat mampu mendapat vaksin sendiri.

Beliau mengulas persetujuan kerajaan bersetuju membenarkan pengamal perubatan am memberikan vaksin Covid-19 pada fasa dua dan tiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menyambut baik langkah itu, Kuljit, bagaimanapun menggesa kerajaan mempercepat proses itu dengan membenarkan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta mendapatkan vaksin yang diluluskan NPRA mereka sendiri.
Beliau berkata berdasarkan kadar vaksinasi sekarang, ia akan memakan masa lama untuk kerajaan menyelesaikan vaksinasi semua petugas barisan depan yang tersenarai, apatah lagi masyarakat umum.
“Buat masa ini, anda perlu mendaftar untuk mendapatkan dos pertama dan menunggu tempahan disahkan. Semua itu bererti masa menunggu lebih lama daripada yang sepatutnya.
“Penting juga untuk melihat bagaimana vaksin kerajaan kerajaan ini akan tiba mengikut kumpulan, seterusnya melanjutkan penantian itu lebih lama lagi,” tambahnya.
Menurut Kuljit, sekiranya hospital swasta boleh memperoleh vaksin sendiri, mereka yang mampu mendapatkannya akan mengosongkan slot bagi golongan yang tidak mampu.
“Walaupun boleh difahami ada yang bimbang dengan isu keadilan, ini bukan masanya untuk mula berbincang tentang mengapa orang kaya patut mendapat perlindungan lebih awal daripada yang lain.”
Beliau menekankan perkara utama adalah melindungi seramai mungkin orang daripada Covid-19, secepat mungkin.
“Tidak ada gunanya satu kumpulan dilindungi sementara yang lain tidak.”
Mengenai harga vaksinasi, sekiranya kerajaan memberikan kelulusan yang diperlukan, Kuljit berkata tiada keuntungan yang terlibat.
“Yakinlah kami hanya akan mengenakan harga pasaran untuk vaksin itu. Kami tidak akan cuba mengeksploitasi pandemik ini,” katanya.
Sementara itu, Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) berharap perbincangan dengan kerajaan akan menyaksikan pengamal media, termasuk wartawan dan jurugambar, mendapat vaksin Covid-19 secepat mungkin.
Bernama melaporkan presiden NPC Ahirudin Attan berkata pengamal media juga adalah petugas barisan depan yang perlu diberi vaksin pada fasa awal ketika mereka pergi ke lapangan untuk membuat liputan berita dan bersemuka dengan orang.
Tambah beliau, NPC sedar akan perlunya barisan depan lain diberi keutamaan untuk suntikan vaksin Covid-19 tetapi mahukan pengamal media mendapat perhatian sewajarnya di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.