
Syarikat itu berkata, perunding terbabit memfokus kepada hak asasi manusia, perdagangan beretika dan amalan kerja yang adil berpandukan 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Perunding bebas itu mendapati, sehingga Jan 2021, tiada elemen buruh paksa secara sistemik wujud di dalam kumpulan terbabit,” kata pengarah urusan Lee Kim Meow hari ini.
Tambahnya, Top Glove juga komited untuk terus menambah baik amalannya termasuk berhubung pengambilan pekerja asing, penginapan pekerja, tempoh bekerja dan upah yang adil, standard keselamatan dan kesihatan serta perlindungan khusus Covid-19.
Lee berkata, syarikat itu juga telah menyerahkan rancangan tindakan pembetulannya kepada Kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) untuk dinilai serta diluluskan, dan berharap Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikenakan ke atas syarikat itu ditamatkan secepat mungkin.
Pada Julai tahun lalu, pihak CBP telah mengeluarkan arahan sekatan terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan Top Glove dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd, berikutan dakwaan wujud elemen buruh paksa secara sistemik di kilang Top Glove.
“Kami masih menanti maklum balas susulan CBP dan sedang berusaha menyelesaikan isu pelepasan WRO dengan secepat mungkin,” katanya.
Tambah Lee, syarikat itu sedang menunggu pengesahan CBP mengenai laporan perunding bebas yang dilantik berhubung tempat tinggal pekerja mereka.
“Kami yakin kami telah melakukan yang terbaik setakat ini dan bercita-cita untuk melakukan lebih lagi. Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi dari segi hasil kewangan selain menambah baik amalan kelestarian kami sehingga setanding dengan standard antarabangsa. “