‘Saya lompat dari PKR, tapi bukan untuk jawatan Kabinet,’ kata Ahli Parlimen Tebrau

‘Saya lompat dari PKR, tapi bukan untuk jawatan Kabinet,’ kata Ahli Parlimen Tebrau

Steven Choong turut mengesahkan menerima notis tuntutan RM10 juta dari PKR kerana melanggar janji.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong berkata, sokongannya kepada kerajaan PN bukan didorong keinginan untuk menjadi ahli Jemaah Menteri, tetapi untuk membantu rakyat. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, menegaskan akan menolak sebarang tawaran jawatan Jemaah Menteri setelah keluar PKR untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Choong sudi menerima tawaran untuk menerajui mana-mana jawatankuasa “yang boleh membantu rakyat.”

“(Tawaran jawatan) Kabinet memang saya tolak, tetapi kalau (mengetuai) satu jawatankuasa yang boleh bertindak, boleh membawa manfaat kepada rakyat, boleh melaksanakan sesuatu, ada bajet, dan boleh menyumbang idea dalam jawatankuasa, saya sudi terimalah.”

Choong berkata sokongannya kepada kerajaan PN bukan didorong keinginan untuk menjadi ahli Jemaah Menteri, tetapi untuk membantu rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan melawat ke Sungai Kim Kim bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada 28 Feb lalu, Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN, yang sekali gus memperkukuhkan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Dalam perkembangan lain, Choong mengesahkan menerima notis tuntutan RM10 juta daripada PKR kerana tidak lagi bersama parti itu.

Choong bersedia jika sebarang tindakan mahkamah diambil terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.