Jadikan ‘IC’ Sabah satu realiti, kata bekas penolong menteri negeri

Jadikan ‘IC’ Sabah satu realiti, kata bekas penolong menteri negeri

Ahli STAR, Kenny Chua berkata kad pengenalan untuk rakyat Sabah mampu menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin dan dokumen palsu dengan lebih berkesan.

Ahli STAR, Kenny Chua (kiri) berkata sudah tiba masa mewujudkan penyelesaian praktikal untuk isu itu.
KOTA KINABALU:
Seorang bekas penolong menteri negeri berkata sudah tiba masa kerajaan negeri serta persekutuan mencari cara memperkenalkan kad pengenalan (IC) Sabah khusus untuk penduduk tempatan.

Kenny Chua, dari parti komponen Perikatan Nasional (PN), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini bahawa tiada kompromi dalam tindakan yang akan diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Chua, yang juga bekas Adun Inanam berkata, dokumen itu dapat menjadi penyelesaian berkesan bukan saja bagi masalah PATI di negeri itu, malah isu lebih serius lagi iaitu melibatkan dokumen palsu.

“Sudah tiba masanya kerajaan secara serius mempertimbangkan untuk memperkenalkan IC Sabah khusus untuk penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah terdahulu berkata, kementeriannya dan kerajaan Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan lebih tegas dan tidak lagi akan berkompromi apabila melibatkan PATI di negeri itu.

Tambahnya, ini termasuk mengusir mereka dari Sabah, seperti dilakukan kepada lebih 600,000 pendatang Filipina dan Indonesia sejak 1990 hingga kini.

Chua sebelum ini pernah membuat gesaan sama untuk IC Sabah, seperti juga pemimpin lain di negeri itu, dengan menganggapnya kaedah terbaik mengekang sebarang usaha di masa depan untuk mengeluarkan dokumen – sama ada palsu atau sebaliknya – kepada PATI.

“Saya percaya rakyat Sabah sudah penat mendengar mengenai isu dokumen palsu ini.

“Lebih teruk lagi, dokumen asal yang jatuh ke tangan pihak salah. Sudah tiba masanya kita melaksanakan penyelesaian dan menghentikan masalah ini untuk selamanya,” katanya.

Tambahnya, Presiden STAR Jeffrey Kitingan yang kini timbalan ketua menteri Sabah, secara konsisten menyuarakan mengenai perlunya penyelesaian bagi masalah berkenaan sepanjang kerjaya politiknya.

“Baguslah beliau kini dalam kerajaan supaya akhirnya kita boleh memikirkan penyelesaian praktikal untuk menyelesaikan isu ini.”

Sementara itu, Chua turut mencadangkan kerajaan negeri mengira jumlah pendatang tanpa izin dan yang mempunyai dokumen sah di Sabah.

“Memang sukar untuk melakukannya, namun saya kira ia perlu dibuat. Melainkan kita ada data berkenaan, kita tidak akan tahu siapa dan di mana lokasi mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.