Iklan cari pembantu undang-undang ‘wanita sahaja dan cantik’ tular di media sosial

Iklan cari pembantu undang-undang ‘wanita sahaja dan cantik’ tular di media sosial

Ia 'kesilapan yang tidak disengajakan' dan diterbitkan tanpa persetujuan rakan kongsinya.

Paparan iklan firma peguam terbabit yang kini telah diubah suai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Iklan jawatan kosong sebuah firma undang-undang yang mencari pembantu undang-undang dengan kriteria “wanita sahaja dan cantik” tiba-tiba tular di media sosial.

Firma guaman di sebalik iklan tersebut mengakui ia ‘kesilapan yang tidak disengajakan’ dan diterbitkan tanpa persetujuan rakan kongsi.

Iklan itu, yang dimuat naik di platform pencarian pekerjaan Badan Peguam semalam, difahamkan telah diubah suai dengan kriteria berkenaan dipadamkan.

“Kami telah menarik balik iklan tersebut dan kesilapan itu amat kami kesali,” kata firma tersebut dalam satu kenyataan.

“Sekali lagi, kami memohon maaf.”

Catatan asal iklan yang muncul di akaun pengguna Facebook Aidil Khalid telah dikongsi lebih 540 kali sejak dimuat naik semalam yang kebetulan adalah Hari Wanita Antarabangsa.

“Iklan pekerjaan jenis apa ini? Dikehendaki: ‘wanita sahaja dan cantik’. Serius? Anda mencari pembantu undang-undang atau ‘sugar baby’? ” ulas Aidil mengenai hantaran yang dikongsi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.