Ajal isteri hamil ditetak suami cemburu

Ajal isteri hamil ditetak suami cemburu

Menurut polis, suspek berjaya ditahan selepas tujuh jam bersembunyi di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata kejadian pukul 5 petang kelmarin itu, membabitkan mangsa dikenali Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi tidak bernombor. (Gambar facebook)
TAWAU:
Seorang buruh ladang dilaporkan tergamak menetak leher isterinya yang sedang hamil sehingga mati dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, kilometer 50, Jalan Tawau-Semporna.

Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata kejadian pukul 5 petang kelmarin itu, membabitkan mangsa dikenali Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi tidak bernombor.

“Hasil siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek mengetahui mengenai hubungan sulit isterinya, namun mangsa enggan menceritakan hubungan sulit itu dengan lebih lanjut,” katanya seperti dipetik akhbar Berita Harian.

Beliau berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas tujuh jam bersembunyi di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Peter berkata pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa mendapati satu kesan tetakan di belakang leher disyaki menggunakan senjata tajam selain dia juga dipercayai sedang mengandung.

“Turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang biru dan sehelai seluar panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.