
Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, ia berikutan banyak pandangan diterima daripada wakil rakyat yang mahu DUN bersidang segera.
“Sudah minta penasihat undang-undang negeri (bagi mendapatkan kepastian) dan beliau sudah merujuk Jabatan Peguam Negara, jadi kita masih lagi menunggu jawapan dari mereka sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.
“Setakat ini masih belum ada keputusan dan dan Insya-Allah ia dijangka dapat diperoleh dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar antarabangsa Hari Wanita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC).
Zahir berkata, jika ada ketetapan daripada Jabatan Peguam Negara, pihaknya akan membuat pertimbangan dan akan berbincang dengan menteri besar.
Katanya, sidang DUN perlu diadakan selewat-lewatnya Jun ini selepas kali terakhir bersidang pada Disember lalu.
“Jika sidang DUN tidak dapat diadakan dalam tempoh itu disebabkan kepatuhan undang-undang, kita akan mengesyorkan kaedah lain.
“Satu daripadanya adalah mengadakan perjumpaan bersama kalangan ADUN di luar tatacara Dewan Negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih lagi di peringkat cadangan dan tertakluk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara.
Zahir berkata, perjumpaan itu boleh dijadikan satu praktis yang baik sekali gus membuka ruang kepada ADUN bertanya soalan dan seterusnya di pihak kerajaan akan berikan jawapan.
“Ini langkah untuk pastikan masalah rakyat yang dibawa dapat diatasi dan diselesaikan dengan satu cara yang lebih ‘rasmi’,” katanya.
Kali terakhir DUN Perak bersidang pada Disember lalu ketika pembentangan Belanjawan 2021 negeri.