
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli, 36, berkata pengeluaran wang itu daripada akaun Affin Bank milik Yayasan Akalbudi kepada akaun Maybank Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah yayasan itu adalah atas arahan Zahid.
“Hasil siasatan, pengeluaran wang itu adalah satu pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi yang dikeluarkan tanpa mendapat persetujuan lembaga pemegang amanah yang lain dan dipindahkan ke akaun klien Lewis & Co,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Saksi pendakwaan ke-93 itu berkata demikian pada hari ke-48 perbicaraan kes Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Jumaat lalu, Fazli memberitahu mahkamah bahawa terdapat penglibatan Zahid dalam pengeluaran wang Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap RM9.3 juta manakala RM8.6 juta untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd.
Sazilee: Berdasarkan siasatan encik Fazli berkenaan Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang wang RM17.9 juta, siapa yang memberi arahan kepada Lewis & Co berkenaan wang tersebut.
Fazli: Segala arahan yang Lewis & Co terima adalah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lewis & Co tidak akan bertindak tanpa arahan.
Sazilee: Boleh kamu sahkan kepada mahkamah, pernah tak mana-mana Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang lain memberi apa-apa arahan kepada Lewis & Co, secara spesifiknya kepada B. Muralidharan (rakan kongsi Lewis & Co).
Fazli: Saya sahkan tiada.
Mengenai percakapan beramaran oleh Zahid kepada SPRM semasa siasatan kes itu berhubung pelaburan dalam syarikat Ri-Yaz Assets, Fazli berkata percakapan itu bercanggah dengan keterangan saksi-saksi lain.
“Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan (dalam syarikat Ri-Yaz Assets) dalam bidang perhotelan, tetapi keterangan daripada saksi-saksi lain memberitahu bahawa Datuk Nurulhidayah (anak Ahmad Zahid) yang berminat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi,” kata Fazli.
Ditanya Sazilee, adakah terdapat dokumen mengenai pelaburan tersebut, Fazli menjawab, “Tiada, ia melibatkan dua pihak sahaja, Nurulhidayah dan Tan Sri Rashid. Sepanjang siasatan saya juga tidak menjumpai apa-apa dokumen yang mengatakan Nurulhidayah menjadi pemantau atau proksi dalam Ri-Yaz Assets”.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.